SEOUL: Korea Selatan tidak menolak kemungkinan akan berlaku gelombang besar Covid-19 hujung bulan ini, apabila kes baharu Covid-19 hari ini mencatatkan 18,343.
Disebabkan itu, negara tersebut terpaksa mengambil langkah kewaspadaan yang tinggi.
Menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA), daripada jumlah tersebut, 18,123 kes merupakan kes jangkitan tempatan.
Sebanyak tujuh kes kematian dilaporkan sekali gus menjadikan angka kematian keseluruhan adalah sebanyak 6,772.
Omicron kini menjadi varian utama penularan wabak Covid-19 di negara itu, dengan 80 peratus daripada jumlah kes minggu lalu adalah berpunca daripada varian Omicron.
Negara itu memberi amaran jumlah kes harian mungkin melepasi paras 20,000 kes dalam masa beberapa hari akan datang, susulan perjumpaan bersama ahli keluarga diadakan sempena sambutan Tahun Baru Cina.
Setakat ini, sebanyak 86 peratus rakyat Korea Selatan sudah lengkap divaksin, manakala, 53.1 peratus pula sudah menerima suntikan dos penggalak.-AGENSI