BEIJING: China melancarkan tindakan tegas terhadap industri hiburan negara itu dengan menetapkan peraturan baharu yang mengehadkan bayaran gaji bintang televisyen.
Peraturan baharu itu dilaksanakan berikutan bantahan orang ramai berhubung isu seorang aktres menerima gaji setinggi AS$25 juta (RM104.7 juta).
Lapor Daily Mail, Pentadbiran Televisyen dan Radio Kebangsaan China (NRTA) mengehadkan gaji pelakon sebanyak 40 peratus daripada jumlah bajet pengeluaran.
Peraturan baharu itu dinyatakan dalam pelan penerbitan televisyen bagi tempoh lima tahun yang dikeluarkan oleh NRTA.
Pelan yang dikeluarkan pada minggu ini, turut menyatakan bayaran gaji untuk artis utama tidak boleh melebihi 70 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan barisan pelakon.
Ia merupakan langkah terbaharu dalam tindakan keras Beijing terhadap budaya selebriti, termasuk melarang artis memaparkan kekayaaan mereka di media sosial.
Tahun lalu, orang ramai menyuarakan rasa tidak puas hati terdapat laporan mendedahkan pelakon terkenal, Zheng Shuang menerima gaji sebanyak AS$25 juta (RM104.7 juta) kerana muncul dalam satu siri televisyen.
Berdasarkan laporan media tempatan, pihak berkuasa Beijing diarahkan untuk menyiasat perkara tersebut setelah dikatakan pasukan penerbitan televisyen sudah melanggar peraturan nisbah kos.
Tidak dapat dipastikan jumlah sebenar bajet keseluruhan siri televisyen itu. – AGENSI