WASHINGTON: Beberapa negara di seluruh dunia bersatu mengenakan sekatan besar-besaran terhadap Rusia selepas negara itu melancarkan serangan di Ukraine.
Antaranya termasuk Amerika Syarikat (AS) apabila Presidennya, Joe Biden menyekat Rusia daripada menjalankan urusan perniagaan dalam semua mata wang utama dunia, selain menyekat sejumlah bank dan syarikat milik negara itu.
Britain turut tidak ketinggalan apabila menyasarkan bank-bank Rusia yang mempunyai kaitan rapat dengan Presiden Vladimir Putin, termasuk individu terkaya negara itu yang hidup mewah di London.
Kesatuan Eropah (EU) pula menyatakan, beberapa langkah tegas akan diambil termasuk membekukan aset Rusia di 27 negara Eropah, menyekat akses bank Rusia ke pasaran kewangan benua itu dan menyekat ‘kepentingan Kremlin’.
“Sekatan EU akan membuat ekonomi Rusia jatuh ke tahap paling rendah, malah paling teruk pernah dilakukan oleh kesatuan ini.
“Kami akan cari jalan untuk kenakan sekatan paling keras supaya Rusia tidak boleh keluar dan akhirnya menghentikan semua masalah ini,” kata Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo.
Selain itu, Kanada dan Switzerland merupakan antara negara yang bakal mengumumkan sekatan baharu terhadap Rusia, termasuk Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.
Rusia merupakan satu daripada negara pengeluar sumber tenaga paling besar di dunia, manakala Ukraine pula antara pengeksport utama bijirin dan sekatan yang dikenakan boleh mengancam ekonomi dunia yang sebelum ini sudah pun terjejas akibat pandemik Covid-19.
Dalam pada itu, China dan Indonesia mengambil pendekatan untuk tidak mengenakan apa-apa sekatan terhadap Rusia, sebaliknya meminta semua pihak supaya ‘kekal tenang dan capai kata putus secepat mungkin’
“Kami tidak akan terburu-buru mengikut langkah negara lain yang berlumba-lumba kenakan sekatan terhadap Rusia.
“Indonesia akan membuat keputusan berdasarkan kepentingan domestik dan faktor masa dari semasa ke sama ada sekatan mampu menghentikan semua masalah yang berlaku.
“Dalam pada masa yang sama, Indonesia mengutuk tindakan yang mencabul kedaulatan negara dan menggesa semua pihak mengutamakan diplomatik bagi menghentikan konflik yang berlaku,” kata jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar Indonesia, Teuku Faizasyah. – REUTERS