BANGKOK: Ketika perayaan Tahun Baharu Cina ini, penduduk yang meraikan perayaan itu di negara ini ‘terpaksa berjimat cermat’ dengan mengurangkan pengambilan daging babi.
Bangkok Post memetik Reuters melaporkan, ini kerana harga daging babi meningkat secara drastik.
Malah, daging babi tidak lagi dimasukkan dalam pakej makanan khusus untuk perayaan itu.
Untuk itu, sebuah restoran, Namjai, dekat sini, menggantikan daging babi dengan agar-agar berbentuk kepala babi dalam pakej makanan.
Pakej itu disekalikan dengan agar-agar berbentuk itik panggang dan ayam kukus.
Restoran tersebut menawarkan satu kotak berisi sembilan item berharga AS$27 dan sajian itu menarik perhatian pelanggan.
Pemilik Namjai, Thanapach Montraprasit berkata, biaya hidup ketika ini cukup tinggi selain harga daging babi dan ayam yang mahal.
“Harga semuanya naik sehingga masyarakat lebih tertarik untuk membeli agar-agar itu,” katanya.
Kenaikan harga daging babi disebabkan oleh penularan selesema babi di negara ini sehingga menyebabkan bekalan berkurangan.