JAKARTA: Ibu negara Indonesia, Jakarta dilaporkan dalam keadaan ‘parah’ kerana kes jangkitan Covid-19 yang semakin kritikal.
Malahan, kawasan sekitarnya termasuk Bogor, Depok, Tangerang dan Bekasi juga mengalami situasi serupa.
Jakarta, Depok dan Tangerang Raya merekodkan kes jangkitan harian lebih tinggi berbanding kemuncak gelombang kedua Covid-19 pada Julai tahun lalu.
Kementerian Kesihatan merekodkan sebanyak 4,000 kes harian pada awal Februari 2022 di Tangerang Raya.
Angka tersebut melebihi jumlah kes pada kemuncak gelombang kedua di Tangerang Raya sebelum ini iaitu sebanyak 3,200 kes.
Jakarta pula mencatatkan kes harian tertinggi pada 6 Februari lalu dengan 15,825 kes selepas ujian saringan dilakukan terhadap 60,406 orang.
Gabenor Jakarta, Anies Baswedan menyifatkan penularan kali ini sangat cepat dan sukar dikawal.
“Berdasarkan keadaan semasa, situasi ketika ini lagi parah berbanding sebelum ini.
“Kita perlu terus patuhi peraturan Covid-19 untuk mencegah penularan besar-besaran,” tegasnya.