WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berikrar untuk berdiri teguh dengan memberi `sokongan dan bantuan’ kepada Ukraine.
Penegasan itu dibuat menerusi panggilan telefon dengan rakan sejawat di Ukraine, Volodymyr Zelenskyy sejurus selepas Rusia melancarkan serangan ke atas negara itu.
Dalam perbualannya dengan Zelensky, Biden menegaskan Washington akan `terus memberi sokongan dan bantuan kepada Ukraine dan rakyat negara itu’.
Lapor Al Jazeera, pemimpin AS itu juga mengutuk `serangan tidak wajar’ yang dilancarkan oleh pasukan tentera Rusia ke atas Ukraine.
“Zelenskyy meminta Washington untuk `menggesa pemimpin dunia bersuara menentang pencerobohan terang-terangan Presiden Vladimir Putin,” jelas Biden dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Biden berkata, beliau akan bertemu dengan sekutunya dari negara G7 untuk merangka tindakan yang lebih berat terhadap Rusia.
Sementara itu, wartawan Al Jazeera dari Washington melaporkan pemimpin AS dijangka mengumumkan `sekatan penuh ke atas Rusia’.
Setakat ini, White House masih belum memperincikan butiran mengenai tindakan akan diambil. – AGENSI