KYIV: Bekas Menteri Pertahanan Ukraine, Andriy Zagorodnyuk mendakwa Belarus bakal menyertai Rusia untuk menyerang Ukraine.
Beliau berkata, berdasarkan sumber maklumat awal, Belarus dijangka memasuki Ukraine untuk membantu tentera Rusia.
“Kami mendapat maklumat tentera udara Belarus kini dalam perjalanan ke Ukraine dengan menaiki pesawat.
“Mereka akan berpihak kepada Rusia dan jika benar, situasi ini amat teruk kerana ia melibatkan satu lagi negara dalam peperangan yang berlaku,” katanya seperti yang dilaporkan The Guardian.
Zagorodnyuk menegaskan, Belarus dan Ukraine sebelum ini menjalin hubungan yang baik dan ‘tidak pernah mempunyai gambaran untuk berperang’.
Sehubungan itu, beliau percaya Rusia yang menghasut Belarus supaya bermusuhan dengan Ukraine sehingga sanggup menyertai Moscow menyerang Ukraine.