MANADO: Seorang bekas anggota polis wanita yang dikenali sebagai Christy Triwahyuni Cantika Sugiarto dilaporkan hilang selepas dipecat.
Wanita cantik berusia 26 tahun itu didakwa hilang sejak 15 November 2021 selepas dipecat kerana tidak datang kerja selama lebih 30 hari.
Sebelum itu, Christy bertugas di Balai Polis Manado dan kehilangannya menimbulkan banyak persoalan oleh pelbagai pihak.
Kehilangan Christy mula mendapat perhatian selepas gambarnya tular dalam media sosial dan polis Manado mengeluarkan surat Daftar Pencarian Orang (DPO) terhadap gadis itu.
Kali terakhir bekas anggota polis itu dikesan berada di wilayah Kendari, Sulawesi Tenggara.
Jurucakap polis, Abraham Abast berkata, Christy kini secara rasmi menjadi individu hilang selepas usaha untuk menghubunginya menemukan kegagalan.
“Namun, bekas anggota polis wanita itu tetap akan dibicarakan dalam sidang disiplin berhubung kesalahannya sebelum ini yang tidak datang kerja lebih 30 hari berturut-turut tanpa sebab.
“Dalam pada itu, polis akan melakukan pencarian bagi mengesan Christy dan berdasarkan maklumat awal, kedudukannya sudah dikenal pasti,” katanya.