Barat 'mulut masin', Rusia tunai janji serang Ukraine

Barat ‘mulut masin’, Rusia tunai janji serang Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Krisis Rusia dan Ukraine akhirnya tiba ke kemuncak apabila Presiden Rusia, Vladimir Putin melancarkan serangan di Ukraine bagi mempertahankan kumpulan pemisah di timur negara itu.

Menerusi kenyataan mengejut yang dibuat secara langsung dalam siaran televisyen, Putin mengecam ‘pembunuhan beramai-ramai’ yang berlaku di timur Ukraine sebelum ini dan menyelar dasar agresif Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) terhadap negara ini.

“Saya sudah membuat keputusan untuk melancarkan operasi ketenteraan dan Rusia juga akan berusaha menamatkan tindakan ketenteraan dan pergerakan yang bermotif nazi di Ukraine,” katanya.

Putin turut berjanji untuk mengheret mana-mana pihak yang terlibat dalam pertumpahan darah membabitkan orang awam ke muka pengadilan, termasuk rakyat Rusia.

Pemimpin Rusia itu juga menggesa tentera Ukraine supaya ‘meletakkan senjata’ sebelum memberi jaminan ‘mereka boleh meninggalkan medan perang tanpa sebarang halangan’.

Putin menegaskan, apa yang berlaku ketika ini bukanlah menawan Ukraine, sebaliknya tindakan demiliterisasi di negara itu.

“Sesiapa yang cuba masuk campur urusan kami, mereka perlu tahu Rusia akan bertindak segera dan menyebabkan akibat yang mereka tidak pernah bayangkan.

“Saya pasti pasukan tentera Rusia akan melaksanakan tugas mereka sepenuh hati dan keselamatan negara ini terjamin,” ujarnya.

Namun, Putin tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai operasi ketenteraan di Ukraine, sama ada melibatkan kawasan timur negara itu, atau keseluruhannya.

Dalam pada itu, beberapa letupan kedengaran di Kyiv dan bandar Mariupol selepas Putin membuat pengumuman dan perkara itu dimaklumkan oleh koresponden AFP.

Sejumlah letupan turut berlaku di bandar pelabuhan Odessa di Laut Hitam, dengan siren kereta polis dan ambulans kedengaran di seluruh Kyiv.

Selain itu, letupan dilaporkan berlaku di bandar Kramatorsk dan Kharkiv yang terletak berhampiran sempadan Rusia, malah Ukraine turut menutup ruang udaranya kepada penerbangan komersial.

Sebagai reaksi, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menegaskan, ‘dunia akan mengheret Rusia supaya bertanggungjawab atas serangan yang dilakukan di Ukraine’.

Ketua NATO, jens Stoltenberg pula menyifatkan tindakan Rusia tidak seharusnya berlaku kerana hanya akan menyebabkan ‘nyawa orang awam menjadi mangsa’.

Dalam pada itu, Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba menuduh Putin melancarkan ‘serangan besar-besaran’, ketika beberapa letupan terus kedengaran di sejumlah bandar di seluruh Ukraine.

“Putin baharu sahaja menyerang Ukraine secara besar-besaran. Negara Ukraine yang aman kini sudah diserang,” katanya menerusi Twitter.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menuduh Rusia menyerang infrastruktur ketenteraan negaranya dan pasukan tentera sempadan, namun menggesa rakyat supaya tidak panik.

Pasukan tentera sempadan Ukraine mendakwa, Rusia melancarkan serangan bertubi-tubi ke arah mereka dan kumpulan pemisah pro-Rusia turut menawan beberapa kawasan, menyebabkan serangan balas dilancarkan, selain ratusan anggota tenteranya maut.

Pada masa sama, Kementerian Pertahanan Rusia mendakwa sudah melumpuhkan beberapa pangkalan tentera udara Ukraine dan sistem pertahanan udara negara itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Kesatuan eropah (EU), Ursula von der Leyen dan Charles Michel menegaskan Rusia akan bertanggungjawab atas semua yang berlaku selepas ini.

“Kami menyelar tindakan Rusia dan kami bersama semua rakyat Ukraine, termasuk golongan wanita, warga emas dan kanak-kanak yang terpaksa berdepan dengan situasi sukar ini,” kata dua pemimpin itu menerusi kenyataan bersama.

Sementara itu, penduduk Ukraine di Kyiv mula panik apabila semakin ramai membuat persediaan keluar dari ibu kota tersebut dan mereka dikatakan menuju ke barat Ukraine untuk mendapatkan perlindungan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN