2 maut, 38 cedera dalam serangan bom tangan di Myanmar - Utusan Malaysia

2 maut, 38 cedera dalam serangan bom tangan di Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Dua orang terbunuh dan 38 lagi cedera dalam serangan bom tangan yang berlaku pada perhimpunan pro-tentera di timur Myanmar.

Perkara itu dimaklumkan oleh seorang pegawai keselamatan ketika protes anti-rampasan kuasa diadakan di seluruh negara semalam, genap setahun sejak junta tentera mengambil alih kuasa di Myanmar.

Setakat ini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Menurut pegawai keselamatan, serangan itu berlaku ketika orang ramai sedang dari perhimpunan pro-tentera di bandar Tachileik.

Serangan itu berlaku ketika aktivis anti-rampasan kuasa menyambut ulang tahun rampasan kuasa dengan mengadakan protes mogok senyap dan bertepuk tangan sebagai bantahan, yang mengingkari arahan junta.

Rampasan kuasa yang menamatkan pemerintahan demokrasi negara Asia Tenggara itu dan menggulingkan pemimpin awam Aung San Suu Kyi mencetuskan protes besar-besaran dan tindakan keras terhadap penduduk yang mempunyai perbezaan pendapat.

Penduduk di Yangon dan bandar Mandalay bertepuk tangan secara beramai-ramai pada pukul 4 petang, menurut wartawan AFP dan penduduk tempatan.

Media melaporkan, 10 orang ditahan kerana mengambil bahagian dalam protes tepuk tangan di Yangon.

Junta tentera mengarahkan semua kedai untuk terus dibuka namun jalan di sekitar Yangon mula menjadi kosong pada pukul 10 pagi.

Penutupan serupa pernah berlaku pada Disember tahun lalu di negara itu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN