Thailand cadang guna ganja tarik pelancong - Utusan Malaysia

Thailand cadang guna ganja tarik pelancong

PAISARN DUNKUM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Thailand dalam perbincangan untuk memperkenalkan skim kanabis dalam usaha menarik lebih ramai pelancong asing ke negara itu.

Skim kanabis menyaksikan para pelancong boleh menggunakan kanabis atau dikenali sebagai ganja untuk tujuan rekreasi di beberapa kawasan dibenarkan di Thailand.

Lapor Thaiger, Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Thailand memaklumkan idea itu bagi pengunjung asing yang memasuki negara itu.

Jelasnya, menerusi skim tersebut, pengembara dibenarkan mengunjungi mana-mana daerah atau wilayah yang diluluskan tanpa perlu menjalani kuarantin yang ketat.

Dilaporkan, kerajaan akan mengadakan sesi pendengaran awam mengenai skim pelancongan penggunaan ganja pada bulan depan.

Ketua FDA Thailand, Paisarn Dunkum berkata, pihaknya sedang bekerjasama dalam isu Akta Kanabis yang dijangka membenarkan individu berumur lebih 20 tahun menggunakan ganja untuk tujuan rekreasi di kawasan tertentu yang diluluskan oleh pihak berkuasa.

Ketika ini, ganja dengan kesan tetrahydrocannabinol (THC) tinggi yang melebihi 0.2 peratus masih menyalahi undang-undang.

Menurut Paisarn, individu di bawah umur 20 tahun, wanita hamil dan wanita yang menyusukan anak tidak akan dibenarkan memasuki negara itu menerusi skim tersebut.

“Bagi pengunjung yang jatuh sakit semasa perjalanan, mereka boleh menggunakan produk ganja dalam rawatan,” katanya.

Sementara itu, FDA memaklumkan pihaknya juga sedang bekerjasama susulan keputusan jawatankuasa
kawalan narkotik mengeluarkan ganja daripada senarai dadah terkawal. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN