BANGKOK: Thailand akan melanjutkan penggantungan pengecualian program kuarantin dan memperkenalkan sekatan baharu selepas lonjakan kes Covid-19 yang dikaitkan dengan varian Omicron.
Lapor Reuters, Jurucakap Tugas-Tugas Khas Covid-19, Taweesin Visanuyothin berkata, aplikasi baharu Test & Go bagi pengecualian kuarantin tidak akan diluluskan sehingga notis lanjut dikeluarkan bagi membendung pertambahan jangkitan Covid-19.
Namun, katanya, pemohon sedia ada masih boleh memasuki Thailand tanpa kuarantin sehingga 15 Januari depan.
“Kita masih boleh lakukan perubahan sekiranya situasi bertambah baik. Namun, buat masa sekarang kita perlu mempelajari tentang Omicron,” katanya.
Disebabkan kebimbangan terhadap Omicron, Thailand menghentikan program pengecualian kuarantin sejak 22 Disember lalu dan kebanyakan skim ‘sandbox’ yang memerlukan pengunjung kekal berada di lokasi tertentu selama tujuh hari dengan membenarkan mereka bergerak bebas semasa menginap kecuali bagi resort di Phuket.










