GAZA: Seorang suspek yang ditahan berhubung pembunuhan seorang ahli akademik Palestin pada 2018 di Malaysia mengaku bahawa dia telah direkrut oleh agensi risikan Israel, Mossad.
Agensi berita Anadoulu melaporkan, perkara itu disahkan jurucakap Kementerian Dalam Negeri Palestin, Iyad al-Buzom dalam sidang akhbar di sini semalam.
Pada April 2018, Dr. Fadi Mohammed al-Batsh seorang jurutera penyelidik yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Hamas, ditembak mati berhampiran rumahnya di Kuala Lumpur oleh dua lelaki bersenjata yang melarikan diri dari tempat kejadian.
Walaupun keluarganya menuduh agensi perisik Israel Mossad telah melakukan pembunuhan itu, Menteri Pertahanan Israel ketika itu, Avigdor Lieberman menafikan penglibatan Israel dalam pembunuhan itu.
Media Israel telah menggambarkan Dr. Fadi sebagai ‘seorang jurutera Hamas dan pakar dalam pembuatan dron’, membayangkan kemungkinan bahawa Mossad telah memainkan peranan dalam kematiannya.
Israel dipercayai secara meluas telah membunuh ramai aktivis Palestin, kebanyakannya di luar negara.
Pada 1997, ejen Mossad cuba – dan gagal – membunuh ketua politik Hamas, Khaled Meshaal di Jordan dengan menyembur racun ke telinganya.
Mossad juga dipercayai berada di belakang pembunuhan komander tertinggi Hamas, Mahmud al-Mabhuh di sebuah hotel di Dubai pada 2010.
Israel tidak pernah mengesahkan atau menafikan penglibatannya dalam pembunuhan Mahmud.










