HONIARA: Samoa dan Kepulauan Solomon dilaporkan melanjutkan perintah berkurung berikutan wabak Covid-19 bertambah buruk di negara pulau terpencil Pasifik itu.
Negara-negara Pasifik itu sebelum ini menggunakan kaedah pengasingan dengan menutup sempadan pada awal 2020 untuk mengawal penularan wabak Covid-19.
Namun dua tahun kemudian, varian Omicron yang lebih mudah berjangkit menembusi negara berkenaan.
Kepulauan Solomon melaporkan peningkatan jangkitan sebanyak 10 kali ganda sejak kes penularan tempatan pertama dikesan pada pertengahan bulan ini.
Pihak berkuasa di Kiribati mengisytiharkan darurat selepas beberapa penumpang penerbangan dari Fiji dijangkiti virus itu.
Kes Covid-19 di Palau meningkat dua kali ganda sehingga mencecah hampir 600 kes dalam tempoh tiga hari.
Perdana Menteri Solomon, Manasseh Sogavare berkata, ibu negara Honiara sudah menjadi kawasan tumpuan koronavirus, justeru beliau melanjutkan perintah berkurung selama empat hari.
Katanya, langkah itu diambil dengan harapan dapat mencegah jangkitan virus itu merebak ke seluruh negara.
Sementara itu, Samoa pula melanjutkan perintah berkurung sehingga Khamis ini selepas beberapa kes dikaitkan dengan penerbangan dari Australia.
Presiden Kiribati, Taneti Maamau mengisytiharkan darurat selepas 23 penduduk tempatan dikesan positif Covid-19 setelah puluhan penumpang dijangkiti virus itu tiba dalam penerbangan pertama dari Fiji minggu lalu. – AFP










