ISLAMABAD: Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan menzahirkan rasa sedih atas insiden ribut salji yang melanda negara ini kelmarin.
Lapor Arab News, Imran menerusi satu hantaran di Twitter meluahkan rasa terkejut dan kecewa dengan kematian tragis para pelancong dalam kejadian tersebut.
“Salji yang turun secara berterusan tidak pernah berlaku sebelum ini. Orang ramai melakukan perjalanan tanpa memeriksa keadaan cuaca terlebih dahulu menyebabkan pentadbiran daerah tidak bersedia.

“Saya mengarahkan siasatan dijalankan dan peraturan tegas dilaksanakan bagi mencegah tragedi seperti itu berlaku pada masa hadapan,” katanya.
Dilaporkan, kira-kira 1,000 orang lagi masih terkandas di lokasi kejadian.
Sekurang-kurangnya 22 orang termasuk sembilan kanak-kanak maut dalam suhu sejuk melampau selepas terperangkap dalam kereta mereka akibat kejadian ribut di kawasan berbukit di Murree.
Puluhan ribu orang tiba di Murree sejak dua hari lalu untuk menyaksikan salji lebat luar biasa, walaupun pihak berkuasa menggesa supaya mereka menangguhkan rancangan kerana cuaca buruk dan sekatan jalan raya.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Pakistan meramalkan penurunan salji lebat di Murree dan kawasan pergunungan Galiyat dari 6 hingga 9 Januari ini.
Menteri Dalam Negeri, Sheikh Rashid Ahmed berkata, polis dan pentadbiran Rawalpindi serta Islamabad bertungkus lumus untuk menyelamatkan mangsa yang terkandas.
Katanya, lima platun tentera, renjer dan Kor Frontier juga digerakkan dalam operasi berkenaan.
Pihak berkuasa di Rawalpindi memaklumkan lebih 23,000 kenderaan yang terkandas sudah dipindahkan dari Murree.










