Ribuan rakyat Myanmar larikan diri ke Thailand - Utusan Malaysia

Ribuan rakyat Myanmar larikan diri ke Thailand

PEKERJA migran pernah melintas sempadan Thailand dan Myanmar menaiki bot di Sungai Moei, utara Thailand, 2017. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Ribuan pelarian Myanmar dilaporkan mula memenuhi sempadan Thailand dan terpaksa hidup di bawah khemah sementara di sepanjang Sungai Moei di daerah Mae Sot dan Phop Phra.

Situasi tersebut dibimbangi akan menjadi seperti Bangladesh yang menerima 1.1 juta pelarian Rohingya sejak 2017 kerana menjadi mangsa kekerasan junta tentera.

Pelarian diselubung ketakutan untuk pulang ke negara asal mereka kerana bimbang serangan udara junta tentera Myanmar.

Sejak junta tentera Myanmar merampas kuasa pemerintahan negara itu tahun lalu, beribu-ribu rakyat Myanmar berusaha mencari perlindungan merentasi sempadan negara.

Kebanyakan pelarian tiada pilihan lain dan terpaksa melarikan diri ke Thailand.

Namun, disebabkan keadaan kem pelarian yang teruk, sebahagian pelarian terpaksa kembali ke sempadan Myanmar.

Agensi berita Reuters yang berada di Sungai Moei di Thailand melihat seramai 2,000 lelaki, wanita dan kanak-kanak tinggal di kawasan tebing sungai di empat lokasi berasingan.

Seorang wanita dari kem itu, Sabal Phyu, 42, sanggup mengharungi sempadan yang tidak dikawal ketat untuk mengambil makanan dan air botol yang disumbangkan sebelum kembali ke tepi sungai Myanmar.

“Kami menerima sumbangan bantuan dan keadaan sangat sesak dan sukar untuk tinggal di sana. Kami mempunyai lebih banyak kebebasan di sini,” katanya.

Phyu terpaksa menyeberang ke Thailand bersama suami dan empat anaknya, namun terpaksa kembali ke kawasan sempadan selepas ditempatkan dalam kandang lembu kosong bersama pelarian lain berhampiran bandar Mae Sot di Thailand.

Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah melaporkan seramai 8,000 pelarian Myanmar tinggal di tempat perlindungan sementara di Thailand.

Sementara itu, Jurucakap Kerajaan Thailand, Ratchada Dhanadirek berkata, negara itu akan ‘menjaga pelarian’ dan menjalankan tugasnya ‘mengikut piawaian hak asasi manusia antarabangsa’.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) membekalkan kelambu, tikar, selimut dan pelitup muka sebagai sokongan kemanusiaan kepada pelarian.-REUTERS

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya