BEIJING: Seorang remaja yang bertemu semula dengan ibu bapa kandungnya yang pernah menjualnya ketika dilahirkan, dilaporkan membunuh diri.
Lapor Daily Mail, Liu Xuezhou, 17, ditemukan meninggal dunia di sebuah pantai di Sanya di selatan Pulau Hainan, China pada pagi Isnin.
Sebelum membunuh diri, Xuezhou sempat memuat naik sebuah nota di media sosial dengan menyatakan dia disisihkan sekali lagi oleh ibu bapa kandungnya.
Catatan nota itu turut menceritakan cabaran dilaluinya termasuk dia ditinggalkan dua kali oleh keluarga kandungnya sepanjang hidupnya.
Kisah remaja itu menjadi tular dalam laman media sosial selepas Xuezhou menyiarkan sebuah video untuk menjejaki semula ibu bapa kandungnya.
Namun selepas pertemuan semula itu, ibu bapa kandungnya sekali lagi menyisihkannya.
Dalam video tersebut, Xuezhou berkata, ibu bapa angkatnya meninggal dunia dalam letupan ketika dia berusia empat tahun.
Katanya, sejak itu dia tinggal bersama datuk dan nenek angkatnya dengan beberapa saudara lain.
Terdahulu, Xuezhou memfailkan saman terhadap ibu bapanya selepas mereka enggan menyediakan tempat tinggal kepadanya.
Katanya, ibu bapanya menolak remaja itu untuk tinggal bersama mereka kerana sudah bercerai dan masing-masing mempunyai keluarga sendiri.
Malah, Xuezhou berkata, keluarga kandungnya juga enggan membantunya dengan membayar sewa bagi membolehkannya tinggal di tempat lain.
Sementara itu, ibu saudara Xuezhou mengesahkan remaja itu ditemukan meninggal dunia beberapa jam selepas dia memuat naik nota tersebut. – AGENSI











