Letusan gunung berapi di Tonga kuat seperti Krakatau, didengari hingga Alaska - Utusan Malaysia

Letusan gunung berapi di Tonga kuat seperti Krakatau, didengari hingga Alaska

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WELLINGTON: Letusan gunung berapi di Tonga yang mencetuskan tsunami di beberapa negara Pasifik menyebabkan ‘kerosakan besar-besaran’ kepada ibu negara itu.

Letusan itu disifatkan sangat kuat sehingga mencetuskan tsunami di pesisir pantai dari Jepun sehingga ke Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern memaklumkan, ibu negara Tonga, Nuku’alofa mengalami kerosakan teruk biarpun tiada laporan kematian atau kecederaan direkodkan setakat ini.

Namun, Ardern tidak menolak sebarang kemungkinan memandangkan kawasan itu belum dapat diakses sepenuhnya susulan sistem komunikasi yang terjejas.

“Ombak tsunami yang melanda memberikan kesan kemusnahan yang besar di bahagian utara Nuku’alofa dengan banyak bot dan kapal dihanyutkan ke daratan,” katanya selepas menghubungi Kedutaan New Zealand di Tonga.

Selain itu, Ardern memberitahu, Nuku’alofa juga diselubungi debu gunung berapi yang tebal, namun keadaan terkawal dan stabil.

Dalam pada itu, Pasukan Pertahanan New Zealand menerusi Twitter memaklumkan, tidak dapat dipastikan sama ada berlaku kerosakan di luar Tonga dan pihak berkuasa negara ini akan menghantar pesawat pemantau bagi meneliti keadaan semasa.

“Kami akan membantu negara Pasifik yang terjejas akibat letusan gunung berapi di Tonga,” menurut pasukan itu.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken turut menzahirkan kebimbangan terhadap penduduk Tonga, sekali gus memohon negara berhampiran menghulurkan bantuan segera.

Ombak tsunami setinggi 1.2 meter membadai pesisir pantai di Nuku’alofa kelmarin, menyaksikan penduduk setempat melarikan diri ke kawasan tinggi, selain banyak rumah dinaiki air sehingga menyebabkan kerosakan.

“Rumah kami bergegar kuat sekali dan kemudian, ombak tsunami melanda. Kami pada mulanya menyangka ada bom meletup.

“Air laut naik begitu cepat sehingga kami tidak sempat untuk menyelamatkan benda penting. Saya juga saksikan dinding rumah jiran saya roboh akibat tsunami yang melanda,” ujar seorang penduduk, Mere Taufa.

 

JERITAN PENDUDUK

Selepas letusan berlaku, penduduk mula panik dan jeritan boleh didengari di mana-mana.

Ada dalam kalangan mereka menyuruh penduduk setempat supaya segera melarikan diri ke kawasan tinggi ketika tsunami bakal melanda.

Selain itu, Raja Tonga, Raja Tupou VI dilaporkan sempat diselamatkan dari Istana Diraja di Nuku’alofa dan diiringi konvoi polis ke sebuah vila yang terletak jauh dari pesisir pantai.

Beberapa imej satelit menunjukkan debu panas gunung berapi Hunga Tonga Hunga Ha’apai dihamburkan ke udara dan bunyi letusan itu boleh didengari sehingga 10,000 kilometer di Alaska.

Letusan itu mencetuskan tsunami di sekitar Pasifik dengan ombak setinggi 1.74 meter direkodkan di Chanaral, Chile, iaitu lebih 10,000 kilometer dari Tonga.

Tsunami setinggi 1.2 meter turut membadai kawasan perairan Jepun, menyebabkan 14 kapal tenggelam di wilayah Kochi dan lima lagi terbalik di wilayah Tokushima.

Kira-kira pukul 11 pagi waktu Malaysia, Pusat Amaran Tsunami Pasifik di Hawaii memaklumkan ancaman tsunami sudah melepasi anggaran masa yang ditetapkan.

 

DIDENGARI HINGGA ALASKA

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) semalam merekodkan letusan gunung berapi itu bersamaan gempa bumi berukuran 5.8 skala Richter.

Gunung berapi itu meletus selama lapan minit dan menghamburkan debu tebal setinggi beberapa kilometer ke udara.

Saintis New Zealand, Marco Brenna menyifatkan impak letusan itu ‘ringan’, namun ada pihak lain beranggapan ia terlalu kuat.

Kesan letusan itu disifatkan sangat kuat sehingga bunyinya boleh didengari di Alaska.

Menurut saintis Pemantau Gunung Berapi Alaska, David Fee, hanya dua gunung berapi pernah meletus sehingga bunyinya didengari pada jarak jauh sebelum, iaitu Krakatau dan Novarupta.

Hunga Tonga Hunga Ha’apai terletak kira-kira 65 kilometer ke utara Nuku’alofa dan kali terakhir meletus pada 20 Disember tahun lalu, namun tidak menyebabkan sebarang kemusnahan. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya