SEOUL: Korea Utara didakwa melancarkan dua peluru berpandu balistik pada hari ini.
Perkara itu diumumkan oleh tentera Korea Selatan.
Ia merupakan ujian senjata keenam pada bulan ini dalam siri pelancaran paling sengit negara itu yang menolak tawaran rundingan Washington mengenai perbincangan program nuklearnya.
Menurut Ketua Staf Bersama Korea Selatan, pihaknya mengesan dua peluru berpandu balistik jarak dekat yang dilancarkan dari kawasan bandar Hamhung menuju ke Laut Timur sekitar pukul 8 pagi (waktu tempatan).
“Projektil itu terbang sejauh 190 kilometer (km) pada ketinggian 20km,” jelasnya.
Sebelum ini, Pyongyang didakwa melancarkan dua peluru berpandu pada Selasa lalu dan menguji peluru berpandu balistik pada 14 dan 17 Januari lalu.
Korea Utara juga didakwa melepaskan peluru berpandu hipersonik pada 5 dan 11 Januari lalu. – AFP