NUKU’ALOFA: Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menjelaskan
letusan gunung berapi Tonga beratus-ratus kali ganda lebih kuat daripada bom atom 15,000 tan yang digugurkan Amerika Syarikat (AS) di Hiroshima pada Ogos 1946.
Saintis NASA, Jim Garvin berkata, jangkaan jumlah tenaga yang dihasilkan daripada letusan tersebut antara lima hingga 30 megatan bahan kimia Trinitrotoluene (TNT).
Debu gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Haapai mencapai ketinggian 40 kilometer di atmosfera 15 Januari lalu, sehingga mencetuskan gelombang ombak tsunami.
Sementara itu, wartawan di Nuku’alofa, Mary Lyn Fonua berkata, penduduk tempatan masih terkejut dengan bencana besar yang dialami mereka.
Katanya, salutan kotoran halus berwarna kelabu menimbulkan kebimbangan mengenai isu kesihatan jangka panjang.
“Gelombang letusan itu menyebabkan pemikiran penduduk terganggu dan mereka bersungguh-sungguh untuk meneruskan kehidupan seperti biasa walaupun menyedari keadaan tidak lagi sama.
“Debu halus itu berada di mana-mana sehingga mengganggu pemandangan kami malah mengharapkan banjir berlaku ketika ini bagi ‘membersihkan semua kekotoran’ demi mulakan hidup baharu,” ujarnya. – AFP