OTTAWA: Penduduk di Hamilton, Ontario digemparkan dengan kehadiran kulit kacang soya berbanding salji, yang melanda hampir seluruh kawasan perumahan di bandar perindustrian di Kanada.
Lapor The Guardian, rata-rata penduduk tempatan terkejut dengan situasi yang jarang berlaku itu pada suatu pagi ketika musim sejuk.
Menurut seorang penduduk, Adrienne Van Halem, dia pada mulanya menyangka majlis perbandaran secara tidak sengaja menyembur garam di seberang jalan, kaki lima dan kawasan kejiranannya.
“Namun, apabila saya mendekatinya saya menyedari ia bukan garam tetapi kulit kacang soya berwarna putih yang menutupi kawasan perumahan,” katanya.
Van Halem turut memuat naik beberapa gambar kejadian tersebut dalam platform Reddit dan Facebook.
Rata-rata pengguna laman media sosial turut menggesa Van Halem melaporkan kejadian itu kepada majlis perbandaran dengan segera.
Beberapa penduduk setempat pula menyifatkan masalah pembuangan kulit kacang soya merupakan sebahagian kehidupan mereka di bandar perindustrian itu.
Van Halem yang tinggal berhampiran kilang pemprosesan kacang soya, Bunge dilaporkan menghubungi syarikat itu untuk mendapatkan penjelasan.
“Pada keesokan hari, saya menerima mel suara yang mengesahkan kulit kacang soya dilepaskan secara tidak sengaja setelah salah satu penapis di kilang tersebut tidak berfungsi,” katanya. – AGENSI










