'Kami tidak sabar untuk jumpa dengan Sohail' - Utusan Malaysia

‘Kami tidak sabar untuk jumpa dengan Sohail’

GAMBAR Sohail Ahmadi diserahkan bapanya kepada anggota tentera di pintu lapangan terbang di Kabul, Afghanistan pada 19 Ogos lalu menjadi tular dan mendapat perhatian pelbagai pihak. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Imej seorang bayi diserahkan bapanya kepada seorang anggota tentera ketika orang ramai berpusu-pusu untuk menaiki pesawat di lapangan terbang Kabul selepas Taliban menguasai Afghanistan berjaya meruntun hati pelbagai pihak.

Selepas insiden itu, bayi lelaki tersebut, Sohail Ahmadi yang ketika itu berusia dua bulan dilaporkan hilang pada 19 Ogos dan terpisah dari keluarganya.

Namun, Sohail akhirnya bersatu semula dengan keluarganya dan dia sempat dijaga oleh seorang pemandu teksi ketika terpisah dari keluarganya.

Selepas kehilangannya dilaporkan, Sohail dikesan berada di Kabul selepas pemandu teksi, Hamid Safi menemukan bayi tersebut di lapangan terbang dan membawanya pulang untuk dijaga seperti anak sendiri.

Selepas lebih tujuh minggu rundingan dan rayuan dibuat, Hamid akhirnya menyerahkan semula Sohail kepada datuknya yang masih berada di Kabul.

Ibu bapa Sohail dan adik-beradiknya sebelum itu dibawa ke Amerika Syarikat (AS) susulan kejatuhan kerajaan Afghanistan ke tangan Taliban.

Menceritakan semula detik itu, bapa Sohail, Mirza Ali Ahmadi yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kedutaan AS di Kabul dan isterinya, Suraya bimbang jika bayi mereka dipijak orang ramai yang ketik itu amat terdesak untuk meninggalkan negara ini,

“Disebabkan itu, saya serahkan Sohail kepada seorang anggota tentera yang dipercayai dari AS dan berharap kami dapat masuk ke lapangan terbang untuk mengambil anak kami dan menaiki pesawat.

“Namun, tentera Taliban datang untuk menyuraikan keadaan dan setengah jam kemudian, baru kami dapat masuk ke lapangan terbang dan kami tidak menemukan Sohail,” katanya kepada Reuters.

Mirza kemudiannya mencari anaknya di seluruh kawasan lapangan terbang dan dimaklumkan oleh pasukan keselamatan kemungkinan Sohail sudah menaiki pesawat bersama orang lain.

Selepas itu, Mirza dan keluarganya menaiki pesawat ke Texas dan selama empat bulan, mereka sering tertanya mengenai keadaan Sohail.

 

SENDIRIAN DI LAPANGAN TERBANG

Pada hari yang sama ketika Mirza terpisah dari bayinya, Hamid pula berjaya memasuki lapangan terbang selepas dibantu oleh abangnya.

Hamid menemukan Sohail di atas tanah sambil menangis dan segera mendukungnya sambil mencari ibu bapa bayi berkenaan.

SOHAIL AHMADI

Selepas usahanya gagal, Hamid membawa Sohail balik ke rumah dan kehadirannya diraikan oleh kelurganya yang memang mengimpikan anak lelaki.

“Ketika itu, kami tekad untuk menjaga Sohail dan kami akan serahkan dia sekiranya keluarganya ditemukan dan jika tidak, dia akan jadi anak kami.

“Kami namakan dia Mohammad Abed dan memuat naik gambarnya dalam media sosial untuk mencari keluarganya,” ujarnya.

Kisah bayi tersebut mendapat perhatian pelbagai pihak dan Mirza dimaklumkan anaknya mungkin sudah ditemukan dan dia terus meminta bantuan bapa mentuanya, Mohammad Qasem Razawi, 67, yang tinggal di wilayah Badakhshan untuk bertemu dengan Hamid untuk memulangkan anaknya.

Qasem kemudiannya berjumpa dengan Hamid, namun pemandu teksi itu enggan menyerahkan Sohail atas alasan dia juga mahu meninggalkan Kabul bersama keluarganya.

Berikutan itu, Qasem meminta bantuan daripada pelbagai pihak termasuk Taliban dan mendakwa Safi menculik cucunya.

Selepas mengharungi pelbagai rundingan, Hamid akhirnya bersetuju menyerahkan Sohail kepada keluarganya dan pemandu teksi itu diberikan wang ganjaran sebanyak AS$950 (RM3,998) kerana menjaga bayi itu selama lima bulan.

 

PENUH KESYUKURAN

Qasem memberitahu, ibu bapa Sohail menitiskan air mata selepas menatap anak mereka buat kali pertama selepas kehilangannya.

“Saya tidak dapat gambarkan bagaimana perasaan kami ketika itu. Kami bersyukur dengan penemuan Sohail.

“Hamid dan isterinya juga menangis ketika serahkan Sohail kepada kami, dan kami mendoakan supaya mereka dikurniakan anak lelaki selepas ini,” ujarnya.

Sementara itu, Mirza dan keluarganya kini menetap di Michigan dan berharap dapat membawa pulang Sohail ke AS dalam masa terdekat. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN