SINGAPURA: Bapa kepada dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang ditemukan maut berdekatan taman permainan di Upper Bukit Timah, dibawa pihak polis ke lokasi kejadian hari ini.
Lapor CNA, Xavier Yap Jung Houn, 48, tiba di lokasi kejadian pada pukul 3.10 petang tadi menaiki van berwarna hitam.
Suspek dilihat memakai baju berwarna merah dan seluar pendek dengan tangan digari serta dikawal ketat lima anggota polis.
Anggota polis dilihat membawa suspek ke kawasan longkang yang menjadi lokasi mayat mangsa ditemukan.
Misteri kematian dua beradik lelaki berusia 11 tahun di sebuah taman permainan terungkai selepas bapa mangsa ditahan pihak polis, Isnin lalu.
Yap dituduh melakukan jenayah itu sehingga menyebabkan kematian Yap E Chern Ethan di sebuah longkang di taman permainan Greenridge Crescent, Upper Timah antara pukul 4.23 petang hingga 6.25 petang, 21 Januari lalu.
Pihak polis memaklumkan Yap ditahan selepas kedua-dua mangsa ditemukan terbaring dalam keadaan tidak bermaya di kawasan taman permainan tersebut.
Pemeriksaan yang dilakukan oleh pasukan paramedik mengesahkan kedua-dua kanak-kanak itu mati di tempat kejadian.
Yap bagaimanapun berdepan satu pertuduhan membunuh seorang anaknya, manakala punca kematian seorang lagi anaknya, Ashton Yap masih dalam siasatan.
Suspek menghubungi pihak polis sendiri bagi meminta bantuan selepas mendakwa anaknya tidak sedarkan diri di taman permainan itu.