KAHERAH: Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dan 18 lagi cedera awal Sabtu dalam nahas bas di lebuh raya antarabangsa di Semenanjung Sinai di timur laut Mesir, kata Kementerian Kesihatan negara itu dalam satu kenyataan.
“Disebabkan kabus yang mengurangkan jarak penglihatan, sebuah bas melanggar sebuah bas mikro di jalan menuju ke wilayah Sinai Selatan,” kata kenyataan itu seperti yang dipetik dari Xinhua.
Kira-kira 13 ambulans bergegas ke tempat kejadian. Mereka yang cedera kebanyakannya mengalami patah tulang dan lebam telah dipindahkan ke hospital awam terdekat, tambahnya.
Siasatan segera sedang dijalankan.
Kemalangan jalan raya harian adalah perkara biasa di Mesir disebabkan infrastruktur jalan yang tidak diselenggara dengan baik dan peraturan lalu lintas yang longgar.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Mesir telah meningkatkan rangkaian jalan rayanya, membina jalan dan jambatan baharu serta membaiki jalan sedia ada.
Kematian akibat kemalangan jalan raya di Mesir menurun sebanyak 44 peratus pada 2019-2020, menurut Kementerian Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Mesir.










