SINGAPURA: Subjek kesihatan mental akan dilancarkan secara bertahap-tahap di peringkat sekolah rendah, menengah dan prauniversiti sepanjang dua tahun akan datang.
Lapor berita.mediacorp, perkara itu diumumkan oleh Menteri Pendidikan Singapura, Chan Chun Sing hari ini sebagai sebahagian daripada kurikulum Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan tahun ini.
Sebelum ini, pelajaran kesihatan mental sudah diperkenalkan kepada semua pelajar menengah bawah.
“Kami menyasarkan untuk melengkapkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran untuk membangunkan daya tahan serta kekuatan kesejahteraan mental dan menghuraikan cabaran mereka.
“Belia kita menghadapi pelbagai tekanan dalam dunia hari ini. Mereka bergelut untuk menguruskan kehidupan sosial sambil mengimbangi tuntutan akademik dan profesional mereka,” katanya.
Menurut Chun Sing, semua sekolah juga akan memperuntukkan waktu dan ruang khusus pada permulaan setiap penggal bagi guru-guru memeriksa kesejahteraan diri setiap pelajar.
“Guru akan disediakan dengan ‘sumber pedagogi praktikal’ dan alat untuk memantau serta menyokong kesejahteraan diri pelajar,” jelasnya.










