KANGAR: Pasangan suami isteri bersama seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 510 kilogram (kg) pada 24 Mac lalu.
Ketiga-tiga tertuduh, Mohd Ridzuan Ramli, 37; Muhammad Amir Aswad Ismail, 27 dan Nur Atiqa Anis Ramadha Abdullah, 24,mengangguk faham sewaktu pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Natasha Rizal.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes berkenaan adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa telah mengedar dadah berbahaya iaitu methamphetamine seberat 510 kg.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Utama berdekatan Jalan Mini Tar Pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) Wang Kelian, Kaki Bukit, Padang Besar, pada 24 Mac sekitar pukul 9.30 pagi.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum gantung sehingga mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum gantung, boleh dikenakan tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Alif Farhan Hassan manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Iman Nor Azmi.
Mahkamah menetapkan tarikh 2 Julai bagi proses serahan dokumen dan sebutan semula kes.
Isnin lalu, media melaporkan dua lelaki termasuk seorang wanita masing-masing sebagai koordinator dan transporter bertindak berani membawa dadah jenis methamphetamine seberat 510 kilogram dianggarkan bernilai RM25.5 juta.
Bagaimanapun, keberanian mereka tidak berbaloi selepas dua kenderaan jenis Honda Civic masing-masing dinaiki suspek berkenaan bagi membawa barangan terlarang itu ditahan polis menerusi serbuan di Jalan Utama Wang Kelian, pada 24 Mac lalu, hasil maklumat risikan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan berkenaan membawa kepada penemuan 20 guni mengandungi 500 paket plastik berisi dadah jenis methamphetamine seberat 510 kilogram. – UTUSAN










