LAHORE: Seorang pemandu kereta api antara bandar digantung tugas selepas dia didakwa sengaja menghentikan pengangkutan itu tanpa mengikut jadual semata-mata untuk membeli yogurt.
Satu video yang tular dalam media sosial menunjukkan pemandu kereta api tersebut menghentikan pengangkutan dan turun membeli yogurt di sebuah gerai tepi jalan sebelum kembali ke dalam gerabak dan meneruskan perjalanan.
Insiden yang berlaku pada Isnin lalu itu menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan dan perundangan pengangkutan kereta api di negara ini.
Jurucakap kementerian landasan kereta api, Syed Ijaz-ul-Hassan Shah berkata, tindakan pemandu itu yang menghentikan kereta api di tengah-tengah landasan mencetuskan pelbagai isu, terutamanya soal keselamatan.
“Kita tidak boleh bertolak ansur dengan kejadian ini kerana ia melibatkan keselamatan dan nyawa penumpang,” katanya.
Ketika kejadian, kereta api itu dalam perjalanan dari Lahore ke Karachi.
Dalam pada itu, Menteri Landasan Kereta Api, Azam Khan Swati memberi amaran bahawa ‘mana-mana pihak tidak boleh menggunakan aset negara secara sesuka hati untuk kepentingan sendiri’. – AFP