NASA biayai bangunkan tiga stesen angkasa lepas komersial - Utusan Malaysia

NASA biayai bangunkan tiga stesen angkasa lepas komersial

Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) bakal ditamatkan operasinya tidak lama lagi. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) menganugerahkan ratusan juta dolar kepada tiga syarikat untuk membangunkan stesen angkasa lepas komersial bagi menggantikan Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) yang operasinya bakal dihentikan tidak lama lagi.

Blue Origin milik hartawan Jeff Bezos, syarikat aeroangkasa Nanoracks dan kontraktor pertahanan Northrop Grumman masing-masing diberikan kontrak berjumlah AS$130 juta (RM550 juta), AS$160 juta (RM676 juta) dan AS$125.6 juta (RM531 juta).

Syarikat keempat, Axiom Space sebelum ini diberi kontrak bernilai AS$140 juta (RM591 juta).

Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) ketika ini semakin beralih kepada sektor swasta untuk membangunkan teknologi sektor berkenaan sebagai usaha mengurangkan kos dan mencapai misi luar biasa, termasuk membina penempatan di bulan dan misi menghantar kru ke planet Marikh.

“Kami bekerjasama dengan beberapa syarikat AS untuk membangunkan stesen angkasa baharu yang boleh dikunjungi, didiami dan melakukan pelbagai tugasan, sekali gus membolehkan NASA meneruskan misi angkasa lepas untuk faedah kemanusiaan dan komersial,” kata Ketua NASA, Bill Nelson.

Blue Origin bekerjasama dengan Sierra Space bagi membangunkan Orbital Reef yang boleh menempatkan sehingga 10 kru pada separuh kedua dekad ini.

Stesen angkasa itu digambarkan sebagai ‘taman perniagaan’ yang menyokong mikrograviti, manakala stesen angkasa Nanoracks yang dibangunkan oleh Voyager Space dan Lockheed Martin pula dikenali sebagai ‘Starlab’.

Stesen angkasa itu dijangka dilancarkan pada 2027 dan berkemungkinan mempunyai kemudahan makmal biologi, makmal tumbuhan, makmal fizikal dan penyelidikan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya