Lelaki positif HIV dipenjara 13 tahun, perdaya remaja 14 tahun jalin hubungan seks - Utusan Malaysia

Lelaki positif HIV dipenjara 13 tahun, perdaya remaja 14 tahun jalin hubungan seks

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Meskipun pernah dihukum penjara atas kesalahan serupa, seorang lelaki yang positif HIV mengadakan hubungan seks dengan remaja perempuan berusia 14 tahun tanpa memaklumkan remaja tersebut tentang keadaan kesihatannya.

Berita Mediacorp melaporkan, tertuduh malah tergamak memperdayakan mangsa untuk bekerja secara sukarela di sebuah pusat perlindungan haiwan di tempat dia bekerja semata-mata untuk mendampingi remaja tersebut dengan lebih dekat.

Lelaki berusia 41 tahun itu dijatuhi hukuman penjara selama 13 tahun dan dua bulan hari ini. Identiti tertuduh tidak boleh didedahkan atas arahan mahkamah.

Dia mengaku bersalah atas 11 pertuduhan, dengan sebahagian besar daripada tuduhan-tuduhan itu melibatkan persetubuhan dengan budak bawah umur dan atas kegagalannya memberitahu mangsa tentang risiko terjangkit HIV sebelum mengadakan hubungan seks dengannya.

Lagi 25 tuduhan turut diambil kira ketika menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa lelaki itu dibebaskan dari penjara pada Januari 2019 dengan syarat dia tidak lagi melakukan jenayah setelah disabit kesalahan mencuri di sebuah kedai sebelum itu.

Dia mula menjadi sukarelawan di sebuah pusat perlindungan haiwan yang kemudian menggajikannya sebagai seorang pekerja di kemudahan tersebut.

Tertuduh dinaikkan pangkat ke jawatan ketua jurulatih yang bertanggungjawab menyelia pekerja pembersihan dan melatih sukarelawan tentang cara-cara menjaga anjing, selain tugasan-tugasan lain.

Pada Julai 2019, mangsa yang berusia 14 tahun mengunjungi pusat perlindungan haiwan itu bersama ibu saudaranya. Tertuduh mengecam remaja berkenaan pada lawatan seterusnya dan bertanya mangsa jika dia berminat menjadi sukarelawan di pusat perlindungan itu dan menyertai sebuah kumpulan sembang.

Pada awalnya, pemilik bersama pusat perlindungan haiwan berkenaan berkata, sukarelawan seharusnya berusia 16 tahun ke atas, namun tertuduh berjaya memujuknya.

Dia berkata mangsa sangat berminat untuk menjadi sukarelawan dan datang dari keluarga pincang.

Pemilik bersama itu mengalah dengan desakan tersebut. Antara Julai hingga Disember 2019, mangsa melakukan kerja-kerja sukarela di pusat perlindungan tersebut pada setiap Sabtu dan menjadi penolong tertuduh.

Pada Ogos 2019, lelaki itu mula berhubungan dengan mangsa menerusi WhatsApp dan Instagram. Dia juga mencium bibir mangsa di pusat perlindungan itu.

Remaja itu bersetuju untuk menjadi teman wanita tertuduh. Lelaki itu berbohong bahawa dia masih bujang dan tinggal bersama ibunya, sedangkan dia sudah mempunyai teman wanita selama empat tahun dan menyewa sebuah kediaman.

Dia mengundang mangsa ke rumahnya pada awal September 2019 di mana mereka berpelukan dan bercium. Tertuduh kemudian cuba mengadakan hubungan seks tetapi berhenti berbuat demikian apabila mangsa berkata dia berasa sakit.

Bagaimanapun, pada kesempatan seterusnya, dia mengadakan persetubuhan dengan mangsa, menurut pihak pendakwa.

Lelaki itu terus mengajak mangsa ke rumahnya untuk mengadakan hubungan seks sepanjang tempoh selama beberapa bulan. Dia tahu bahawa dia telah dijangkiti HIV pada Julai 2011 tetapi tidak memberitahu mangsa mengenainya.

Dia menerima rawatan HIV dan bilangan virus tidak dapat dikesan sewaktu penilaian terakhirnya pada Julai 2019.

Lelaki itu tidak memberitahu mangsa bahawa dia positif HIV kerana dia ‘takut akan kehilangannya’ dan bagaimana dia akan bertindak balas, tambah pihak pendakwa.

Pada November 2019, saudara lelaki mangsa yang menggunakan telefon bimbitnya ternampak perbualan mangsa dengan tertuduh di Instagram. Saudara lelaki mangsa memberitahu bapa mereka, yang kemudian membuat aduan polis. Mangsa diuji negatif HIV.

Tertuduh pernah dihukum penjara selama 18 bulan atas kesalahan serupa di bawah Akta Penyakit Berjangkit, tetapi masih tidak menyedari bagaimana perbuatannya itu menimbulkan risiko ‘yang boleh merubah kehidupan’ mangsa.

Sekalipun lelaki itu menyedari bahawa dia harus memberitahu pasangan seks tentang keadaan HIVnya, dia mahu mangsa terus mengadakan hubungan seks dengannya dan tidak mendedahkan maklumat tersebut kepadanya.

Bagi setiap tuduhan mengadakan hubungan seks dengan budak bawah umur, lelaki itu boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Atas kegagalannya untuk memberitahu bakal pasangan seks mengenai status HIVnya, dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, didenda sehingga S$50,000 atau kedua-duanya sekali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN