JAKARTA: Keluarga salah seorang pelajar perempuan yang dirogol oleh seorang guru di yayasan sekolah pondok di Bandung mendesak agar pelaku yang hanya dikenali sebagai HW dihukum kembiri atau penjara seumur hidup.
Lapor CNN Indonesia, keluarga tersebut berharap agar masyarakat memantau perkembangan kes ini sehingga akhir supaya tiada hukuman ringan dijatuhkan kepada pesalah.
“Kami sangat tidak boleh menerima kalau hukuman hanya dikenakan 15 tahun penjara. Mahkamah mesti jatuhkan hukuman kebiri paling maksimum atau paling minimum adalah penjara seumur hidup,” katanya.
Khamis lalu, media Indonesia melaporkan seorang guru lelaki tergamak mencabul 12 pelajar perempuan sehingga sembilan daripadanya sudah melahirkan anak, manakala, dua lagi sedang mengandung.
Perbuatan terkutuk itu dilakukan sejak 2016 sehingga tahun ini dan kes tersebut sudah dibawa ke Mahkamah Daerah Bandung untuk dibicarakan.
Ahli keluarga memaklumkan, mangsa mengalami trauma dan murung, diam serta hilang selera makan selama beberapa hari.
Namun, kini keadaan mangsa dilaporkan sudah menunjukkan perubahan dengan kelihatan bersemangat untuk melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
Dalam pada itu, Kementerian Agama akan melakukan siasatan menyeluruh terhadap lembaga pendidikan selepas kes tidak bermoral yang berlaku di institusi pendidikan keagamaan di Jawa Barat.
Menterinya, Yaqut Cholil Qoumas berkata, langkah itu perlu dilaksanakan supaya kekerasan seksual terhadap belasan pelajar di Bandung tidak berulang lagi.
“Jadi kalau ada hal serupa, kita akan lakukan siasatan sama. Jadi jangan tunggu ada kejadian.
“Siasatan akan dilakukan bermula dari madrasah, pesantren hingga perguruan tinggi,” katanya.
Yaqut turut melahirkan kebimbangan sekiranya kes tersebut hanya satu daripada banyak kejadian yang belum dikesan.
Katanya, insiden serupa boleh menjadi seperti fenomena gunung ais dalam institusi pendidikan agama.