BANGKOK: Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengkritik tindakan junta tentera Myanmar yang didakwa membunuh 11 penduduk kampung, termasuk kanak-kanak di wilayah Sagaing.
Kecaman itu dibuat selepas media dan penduduk tempatan melaporkan junta tentera menangkap 11 penduduk di perkampungan Dontaw.
Penangkapan itu dibuat selepas penduduk kampung berkenaan didakwa melancarkan serangan bom terhadap konvoi tentera sehari sebelum itu.
“Kami mengutuk keras tindakan kejam junta yang membakar 11 penduduk itu secara hidup-hidup.
“Kanak-kanak turut menjadi mangsa kekejaman tentera Myanmar dan hal ini tidak sepatutnya berlaku,” kata jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price.
Junta tentera Myanmar dalam pada itu menafikan dakwaan tersebut.
Lidah rasmi junta, akhbar Global New Light of Myanmar pula menyifatkan laporan itu sebagai palsu dan bukti kepada ‘konspirasi antarabangsa’. – AFP










