SYDNEY: Australia akan memberikan vaksin Covid-19 kepada golongan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun bermula 10 Januari depan.
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Scott Morrison hari ini.
“Pemberian vaksin ini ditunggu-tunggu oleh banyak keluarga di seluruh dunia yang mahukan anak-anak mereka juga mendapat perlindungan menerusi vaksin,” katanya dalam satu kenyataan.
Selepas meneliti data klinikal dari Kanada, pasukan penasihat vaksinasi negara ini mencadangkan sela masa lapan minggu antara dua dos dan boleh dipendekkan kepada tiga minggu sekiranya berlaku penularan tinggi.
Pada peringkat awal, vaksin keluaran Pfizer akan digunakan dan vaksin Moderna juga mungkin digunakan selepas penelitian dilakukan.
Setakat ini, hampir 90 peratus populasi Australia yang berusia atas 16 tahun sudah menerima dos lengkap vaksin Covid-19.
Kira-kira 70 peratus kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun juga sudah lengkap divaksin. – REUTERS










