WASHINGTON: Bank Dunia mengumumkan akan menyalurkan bantuan berjumlah AS$280 juta (RM1.2 bilion) kepada Afghanistan selepas amaran mengenai lebih separuh populasi di negara itu bakal berdepan krisis bekalan makanan kritikal semasa musim sejuk.
Bank Dunia menerusi kenyataan memaklumkan dana dari Tabung Amanah Pembinaan Semula Afghanistan (ARTF) akan membekalkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Afghanistan ketika musim kritikal ini.
Dana akan disalurkan kepada Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Program Makanan Sedunia (WFP) yang mempunyai kapasiti logistik di Afghanistan.
UNICEF akan menerima dana AS$10 juta (RM42 juta) untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan penting dan WFP akan menerima AS$180 juta (RM760 juta).
Dana itu juga akan digunakan bagi menampung jurang pembiayaan program sedia ada menyampaikan bantuan kesihatan dan nutrisi kepada rakyat negara itu secara langsung.
Pengurusan bank awal bulan ini menawarkan cadangan mengarahkan semula dana yang bertujuan bagi usaha pembinaan semula negara itu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berulang kali memberi amaran Afghanistan berada di ambang krisis kemanusiaan terburuk di dunia.
Kira-kira 22 juta rakyat Afghanistan akan berhadapan kekurangan krisis makanan semasa musim sejuk sehingga memaksa jutaan yang lain memilih untuk berhijrah atau kekal dalam kebuluran.
Situasi itu disebabkan kesan kemarau akibat pemanasan global dan krisis ekonomi yang diburukkan lagi oleh keputusan komuniti antarabangsa untuk membekukan pembiayaan kepada Afghanistan yang sangat bergantung kepada bantuan luar.
Kebanyakan penduduk di Kabul terpaksa menjual barangan rumah untuk menyara diri mereka sendiri dan membeli arang batu untuk memanaskan rumah mereka semasa musim sejuk.
Washington sebelum ini membekukan kira-kira AS$10 bilion (RM42 bilion) rizab negara itu dengan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa menghentikan akses pembiayaan kepada Afghanistan.-AFP










