BUJUMBURA: Sekurang-kurangnya 38 orang maut dalam kebakaran besar melanda sebuah penjara yang sesak di ibu negara Burundi, Gitega.
Lapor Al Jazeera, perkara itu dimaklumkan oleh Naib Presiden, Prosper Bazombanza.
Kebakaran yang berlaku kira-kira 4 pagi (waktu tempatan) semalam, turut memusnahkan beberapa kawasan di penjara berkenaan.
Menurut beliau, kejadian itu menyebabkan 69 orang mengalami kecederaan.
Bazombanza bersama beberapa menteri kanan yang melawat lokasi kejadian, bagaimanapun tidak memaklumkan punca kebakaran tersebut.
Sementara itu, seorang banduan berkata, beberapa tahanan turut terkorban dalam kebakaran tersebut.
Menurut beberapa saksi, mangsa yang mengalami luka bakar teruk dikejarkan ke hospital menerusi trak pikap polis dan tentera.
Berdasarkan data pihak berkuasa, penjara itu menempatkan lebih 1,500 banduan pada akhir bulan lalu.
Angka itu dikatakan jauh lebih tinggi berbanding kapasiti di penjara tersebut iaitu 400 orang.
Ogos lalu, penjara yang sama di Gigeta dilanda kebakaran lain yang berpunca daripada litar pintas elektrik.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan. – AGENSI










