NEW DELHI: Polis India kini memburu sejumlah pemilik kira-kira 100 akaun media sosial yang didakwa menyebarkan berita palsu sehingga mencetuskan rusuhan di masjid di timur laut negara ini.
Rusuhan ganas yang berlaku di negeri Tripura pada bulan lalu tercetus selepas kumpulan sayap kanan agama Hindu menyerang penduduk Islam.
Serangan itu didakwa sebagai balas dendam terhadap kematian beberapa penganut Hindu di kuil di Bangladesh.
Sebanyak empat masjid dirosakkan dalam insiden tersebut, selain beberapa premis perniagaan dan rumah orang Islam turut menjadi sasaran.
Menurut polis, terdapat beberapa pihak cuba memburukkan lagi situasi tegang dengan menyebarkan maklumat serta gambar palsu dalam media sosial.
“Kesemua akaun tersebut dikenal pasti sebarkan maklumat palsu, video palsu dan gambar palsu yang sebenarnya tidak mempunyai kaitan langsung dengan insiden di Tripura.
“Semua pihak yang terlibat akan ditahan bagi membantu siasatan,” kata jurucakap polis.
Laporan polis yang dikeluarkan hari ini mengenal pasti sebanyak 102 hantaran yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan tujuan memprovokasi penduduk Hindu dan Islam.
Sehubungan itu, polis menggesa semua maklumat palsu itu dikeluarkan dari semua media sosial termasuk Facebook, Twitter dan YouTube. – AFP