LONDON: Pengeluar kereta mewah, Rolls-Royce melakukan pencapaian mengagumkan menerusi inovasi penerbangan terbaharunya iaitu pesawat elektrik terpantas di dunia.
Lapor Daily Mail, pesawat Spirit of Innovation mencatatkan rekod baharu dengan mencapai kelajuan maksimum 623.4 kilometer sejam (km/j) dalam satu ujian penerbangan yang berlangsung selama 11 minit.
Kelajuan yang dicatatkan itu adalah 212.4 km/j lebih pantas berbanding rekod ditetapkan oleh pesawat Extra 330 LE Aerobatic oleh Siemens eAircraft pada 2017.
Selain itu, pesawat elektrik berkenaan turut mencapai kelajuan 531 km/j dalam ujian penerbangan sejauh 15km.
Kelajuan itu pula adalah 292.9 km/j lebih pantas berbanding rekod sebelum ini sekaligus memecahkan masa terpantas untuk terbang pada ketinggian 3,000 meter dalam tempoh 60 saat.
Ketika ini, data tersebut telah diserahkan kepada Federation Aeronautique Internationale untuk pengesahan.
Menurut Rolls-Royce, pesawat Spirit of Innovation kini mampu terbang lebih 30 minit dengan hanya dicas sekali.
Syarikat itu juga berharap dapat membangunkan pesawat yang mampu melakukan penerbangan sejauh 160.9 km dengan dicas sekali pada masa hadapan.
Ujian penerbangan itu diadakan di tapak eksperimen pesawat Boscombe Down di Kementerian Pertahanan di United Kingdom (UK) pada 16 November lalu.
Ketika ujian penerbangan itu, pesawat itu dipandu oleh Pengarah Operasi Penerbangan, Rolls-Royce, Phil O’Dell.
Pesawat Spirit of Innovation dikuasakan rangkaian kuasa elektrik 400 kilowatt dan kapasiti bateri besar yang mengandungi 6,480 sel.