MOSCOW: Seorang wanita di Rusia nyaris maut selepas sebilah pisau sepanjang 25 sentimeter (cm) tertusuk pada hidungnya dalam satu serangan mengerikan.
Lapor Daily Star, beberapa gambar menunjukkan wanita berusia 60 tahun itu dalam keadaan mukanya tertusuk pisau selepas tersandung ke jalan raya untuk mendapatkan bantuan.
Beberapa media tempatan melaporkan, wanita itu merupakan mangsa keganasan rumah tangga dan diselamatkan oleh seorang jiran dan pasukan paramedik.
Insiden mengerikan itu berlaku di wilayah Krasnodar di Rusia.
Jelas laporan itu, pisau berjaya dikeluarkan dan rawatan kecemasan telah diberikan kepada mangsa.
Imej x-ray mangsa menunjukkan pisau itu tertusuk pada hidung dan mukanya namun tidak menyebabkan sebarang luka yang membawa maut.
“Dia amat bernasib baik terselamat daripada maut,” jelas laporan yang memetik doktor dan pegawai penguatkuasa undang-undang.
Seorang lelaki berusia 64 tahun ditahan kerana disyaki cubaan membunuh.
Menurut Jawatankuasa Penyiasatan Rusia, satu pertengkaran berlaku antara pasangan tersebut sehingga menyebabkan lelaki itu bertindak menikam muka mangsa dengan menggunakan pisau.
Sementara itu, seorang jurucakap kementerian kesihatan berkata, selepas mangsa dimasukkan ke hospital, dia dibawa ke bilik bedah untuk menjalani pembedahan.
“Pembedahan itu berlangsung selama 60 minit dan pisau sepanjang 25cm berjaya dikeluarkan,” katanya. – AGENSI