ISLAM QALA (Afghanistan): Kanak-kanak, begitulah sikap mereka – sentiasa riang dan aktif, biarpun hidup diselubungi seribu derita hingga sukar dicerita.
Riak wajah dan watak-watak itulah antara yang ‘menyambut’ rombongan misi bantuan kemanusiaan membabitkan 13 sukarelawan Malaysia sejurus menjejakkan kaki ke bumi Afghanistan pada kira-kira jam 10 pagi Sabtu waktu tempatan.
Rombongan kami membabitkan sukarelawan daripada tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Muslim Care Malaysia (MCM), Yayasan Amal Malaysia dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma).
Selepas menempuh perjalanan udara dan darat selama lebih kurang 28 jam, dari Kuala Lumpur, kami akhirnya tiba di bandar Islam Qala yang menjadi pintu masuk ke Afghanistan melalui Taybad, Iran.

Sekumpulan kanak-kanak seramai kira-kira 10 hingga 15 orang berlegar-legar di pintu sempadan, kebanyakannya menawarkan khidmat sebagai ‘porter’ atau pengangkut barang dengan menggunakan troli.
Memang komunikasi lisan antara kami amat terbatas, seperti itik dengan ayam. Namun, bahasa wajah dan tubuh sudah cukup untuk menceritakan kesukaran hidup mereka.

Raut muka yang comot, rambut kering dan tidak terurus manakala pakaian pula kusam dan kotor, menandakan sudah berhari-hari tidak diganti.
Cuaca sejuk yang berlegar di bawah 10 darjah celcius, menjadikan mereka lebih sukar menyentuh air dan tampak selesa berkeadaan begitu.
Kerana simpati yang amat mendalam, seorang teman sukarelawan memberi upah sebanyak AS$20 kepada seorang kanak-kanak berusia dalam lingkungan 13 tahun yang mengangkut sebahagian barangan kami dari pejabat Imigresen di sempadan ke tempat letak kereta.

Wang sebanyak itu amat besar nilainya kepada mereka. Kanak-kanak itu seperti hilang kata-kata. Namun, wajahnya yang sebak kerana terlalu gembira bercampur sedih, memberi makna jelas betapa bersyukurnya dia dengan upah yang diberi.
Menurut laporan Program Makanan Sedunia (WFP) pada September lalu, dua juta kanak-kanak Afghanistan kini berdepan masalah kekurangan makanan berkhasiat.
Seorang lagi kanak-kanak berusia dalam lingkungan 10 tahun menghampiri saya dan menunjukkan seikat pelitup muka, tanda dia mahu saya membeli barang jualannya itu.
Saya menunjukkan isyarat tidak. Wajahnya jelas kecewa, lantas saya berikan kepadanya bungkusan makanan dan sebotol air, untuk mengubat kekecewaannya itu.
Dia tersenyum lebar dan saya juga seronok. Lebih syahdu apabila dia tidak menikmati juadah yang saya berikan itu sendirian , sebaliknya memanggil kawan-kawan untuk makan bersama.

Nyata, di sebalik tubuh kecil itu ada jiwa besar yang seharusnya menginsafkan kita, kalau kita mahu belajar dan tidak silu mencermin kelemahan diri.
Tangan yang berada di atas, tidak semestinya sentiasa lebih baik daripada tangan yang di bawah. Ada ketikanya, tangan yang di bawah itu jauh mampu menjadi guru dan jauh lebih hebat sebenarnya,
Cukup setakat ini dulu catatan hari pertama saya di bumi Afghanistan – bumi yang baru pada pertengahan Ogos lalu terlepas daripada cengkaman 20 tahun penjajahan tentera Amerika Syarikat.
InsyaAllah ada sembilan hari lagi saya dan rombongan akan berada di bumi perjuangan itu. Dari Islam Qala, kami ke bandar Herat dan bermalam di situ.
Keesokannya, kami akan terbang ke ibu negeri, Kabul. Pasti ada banyak yang menarik di sana yang pastinya akan saya kongsikan lagi dengan anda semua di ruangan ini..insyaAllah.
Tuan Asri Tuan Hussein adalah Penasihat Media Muslim Care Malaysia