MH17: Mahkamah perlu dedah penglibatan Rusia - Utusan Malaysia

MH17: Mahkamah perlu dedah penglibatan Rusia

KETUA Hakim, Hendrik Steenhuis bersama barisan hakim dan peguam melihat bangkai kapal terbang MH17 yang dibina semula di pangkalan tentera udara, selatan Belanda. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMSTERDAM: Seramai 298 keluarga mangsa nahas pesawat MH17 meminta pihak hakim yang mengetuai perbicaraan kes tersebut memberikan penjelasan berhubung dakwaan penglibatan Rusia dalam kejadian itu.

Piet Ploeg yang kehilangan abang, kakak ipar dan anak saudara serentak semasa nahas tersebut tujuh tahun lalu, memberitahu pihak hakim untuk melihat kes tersebut secara spesifik mengenai peranan Rusia dalam konflik Ukraine itu.

“Kami ingin mengetahui apa yang terjadi, bagaimana ia berlaku dan siapa yang bertanggungjawab bermula dari individu yang melancarkan sasaran sehingga individu teratas yang bertanggungjawab, kemungkinan berada di Kremlin,” jelasnya.

Pesawat Malaysia Airlines MH17 yang berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014,  ditembak jatuh di timur Ukraine yang dikuasai oleh kumpulan pemberontak pro-Rusia.

Hasil siasatan antarabangsa mendapati peluru berpandu BUK adalah milik Briged Peluru Berpandu Anti-Pesawat ke-53 tentera Rusia yang berpusat di bandar Kursk bertanggungjawab terhadap insiden tersebut.

Rusia bagaimanapun menafikan terlibat dalam serangan itu.

Jun lalu, Mahkamah Belanda mula mendengar keterangan terhadap tiga suspek warga Rusia dan seorang warga Ukraine yang didakwa menembak jatuh pesawat MH17 ketika melalui ruang udara kawasan bergolak Ukraine.

Perbicaraan secara rasmi bermula sejak Mac tahun lalu, tetapi hanya membabitkan hujahan terutamanya mengenai penerimaan kemasukan bahan bukti kejadian nahas pesawat yang menyebabkan 298 penumpang dan anak kapal terbunuh.

Tiga suspek warganegara Rusia ialah Oleg Pulatov, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky, manakala, seorang rakyat Ukraine, Leonid Kharchenko semuanya dibicarakan secara in absentia (tidak hadir). Hanya Pulatov diwakili peguam.

Ploeg mengkritik keengganan Rusia memberikan kerjasama dalam siasatan MH17 dan perbicaraan akhir serta ‘teori alternatif, penafian dan ketidakbenaran’.

Media Belanda melaporkan bulan lalu, peguam yang mewakili keluarga mangsa MH17 ditawarkan langkah perlindungan selepas menerima ugutan.

Perbicaraan bersambung Disember depan dengan hujah terakhir pihak pendakwaan dan keputusan perbicaraan dijangka diputuskan tahun depan.-REUTERS

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya