Airbus uji pesawat terbang 22 jam tanpa henti 

Airbus uji pesawat terbang 22 jam tanpa henti 

PESAWAT Airbus A350-1000ULR dilengkapi tangki bahan api tambahan di bahagian belakang yang membolehkannya terbang sangat jauh.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Airbus memaklumkan pesawat badan lebar A350-1000ULR yang mampu terbang sehingga 22 jam tanpa henti berjaya melengkapkan penerbangan ujian pertamanya pada Selasa.

Pesawat yang dipasarkan dengan singkatan ULR, merujuk kepada ultra jarak jauh itu merupakan antara 12 pesawat yang ditempah syarikat penerbangan Australia, Qantas bagi membolehkannya mengendalikan penerbangan tanpa henti antara Sydney dan London.

“Pesawat yang dilengkapi instrumen khas untuk ujian penerbangan itu terbang selama tiga jam 43 minit dan mencapai altitud sedikit melebihi 12,500 meter,” menurut pengeluar pesawat Eropah itu dalam satu kenyataan.

Airbus berkata, pihaknya kini merancang menyerahkan pesawat A350-1000ULR pertama kepada Qantas pada April 2027. 

Syarikat penerbangan itu sebelum ini dijangka memulakan perkhidmatan penerbangan tanpa henti Sydney-London pada 2025.

Penerbangan ujian pada Selasa dari fasiliti Airbus di bandar Toulouse, selatan Perancis menandakan permulaan tempoh ujian selama dua bulan bagi mendapatkan pensijilan terhadap pengubahsuaian yang dibuat daripada tiga versi A350 sedia ada.

Ia termasuk penambahan tangki bahan api yang membolehkan pesawat itu terbang sejauh kira-kira 18,500 kilometer.

Ketika ini, penerbangan komersial paling panjang yang sedang beroperasi ialah penerbangan Singapore Airlines dari Singapura ke New York, yang meliputi jarak 15,350 kilometer dalam tempoh lebih 18 jam.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN