Industri fesyen dunia bersedih dengan pemergian Virgil Abloh - Utusan Malaysia

Industri fesyen dunia bersedih dengan pemergian Virgil Abloh

VIRGIL ABLOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Virgil Abloh yang mencipta sejarah dengan menjadi pengarah artistik warga kulit hitam pertama jenama mewah, Louis Vuitton, dilaporkan meninggal dunia pada usia 41 tahun akibat kanser.

Lapor Daily Mail, pereka fesyen terkemuka di Amerika Syarikat (AS) itu bertarung dengan kanser selama beberapa tahun.

Abloh menghidap penyakit angiosarcoma jantung sejak tahun 2019.

“Kami semua terkejut dengan berita kematian ini. Abloh bukan sahaja pereka fesyen genius tetapi seorang yang berwawasan dan juga lelaki yang mempunyai jiwa baik.

“Keluarga LVMH bersama saya mengharungi detik kesedihan ini dan kami akan terus mengingati Abloh yang merupakan suami, ayah, abang dan rakan-rakan,” kata Ketua Eksekutif LVMH, Bernard Arnault dalam satu kenyataan. 

Rekaan pakaian Abloh disokong oleh sebahagian besar selebiriti antaranya Kim Kardashian, Kanye West, Hailey Bieber dan Gigi Hadid. 

Pereka fesyen Itali, Donatella Versace antara selebriti yang memberi penghormatan kepada Abloh semalam.

Abloh yang dilahirkan pada 30 September 1980 di Chicago, merupakan keturunan Ghana-Amerika generasi pertama yang dibesarkan di Rockford, Illinois.

Meskipun tidak mempunyai latihan formal sebagai pereka, beliau mempelajari teknik rekaan daripada ibunya yang merupakan seorang tukang jahit.

Abloh memulakan kerjaya fesyennya pada 2009 apabila beliau menjalani latihan untuk Fendi di Rom, Itali bersama Kanye West.

Abloh dilantik sebagai pengarah artistik koleksi pakaian lelaki Louis Vuitton pada 2018.

Abloh berkahwin dengan Shannon Sundberg selepas 10 tahun bercinta dan pasangan itu mempunyai dua orang anak, Lowe dan Grey. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya