Hukuman mati pengedar dadah warga Malaysia ditangguhkan selepas disahkan positif Covid-19 - Utusan Malaysia

Hukuman mati pengedar dadah warga Malaysia ditangguhkan selepas disahkan positif Covid-19

D. Nagaenthran
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Hukuman mati ke atas seorang pengedar dadah warga Malaysia ditangguhkan oleh Mahkamah Rayuan selepas dia disahkan positif Covid-19.

Nagaenthran Dharmalingam, yang sudah meringkuk dalam penjara selama 11 tahun sebelum hukuman mati, dibawa ke kandang tertuduh bagi percubaan terakhir untuk menggugurkan hukuman mati terhadapnya.

Bagaimanapun, lelaki itu kemudian dibawa pergi dan seorang hakim memberitahu mahkamah bahawa Nagaenthran diuji positif Covid-19.

Hakim Andrew Phang, yang tampil bersama dua hakim lain, Judith Prakash dan Kannan Ramesh berkata, ‘ini agak tidak dijangkakan’.

Beliau berkata, mahkamah berpandangan ia tidak wajar untuk diteruskan ‘setelah mengambil kira keadaan tersebut’.

“Hukuman mati dijadualkan esok. Jika banduan dijangkiti Covid-19, kami berpendapat pelaksanaan hukuman itu tidak boleh dilakukan,” kata Hakim Phang.

Pihak pendakwa menyatakan ia baru sahaja diberitahu tentang perkembangan itu dan perlu menerima arahan selanjutnya.

Beliau menangguhkan perbicaraan ke satu tarikh yang belum ditetapkan dan mengeluarkan penangguhan terhadap hukuman mati sehingga prosiding dimuktamadkan.

Peguam M Ravi mengambil alih kes Nagaenthran, 33, pada saat-saat akhir menjelang hukuman matinya yang dijadualkan pada Rabu.

Permohonan yang dibuat peguam itu semalam adalah untuk semakan kehakiman kes atas alasan Nagaenthran yang dikatakan hilang keupayaan mental ditolak tetapi hakim membenarkan penangguhan sementara pelaksanaan hukuman mati itu sehingga selepas peguamnya merayu terhadap penolakan tersebut.

Kes itu berjalan pantas dan rayuan ditetapkan untuk didengar di mahkamah tertinggi negara pada petang ini, dengan bilik mahkamah yang penuh sesak termasuk kehadiran media asing dan aktivis tempatan.

Ravi dilihat memeluk seorang rakan peguam selepas penangguhan hukuman gantung diumumkan.

Butiran lanjut mengenai bila Nagaenthran diuji positif bagaimanapun tidak diberikan.

Mediacorp sudahpun menghubungi Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) untuk mendapatkan lebih banyak maklumat.

Nagaenthran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana menyeludup 42.72 gram heroin ke Singapura pada 2009 dalam satu bungkusan yang diikat pada pahanya.

Dia gagal dalam rayuannya kepada Mahkamah Tinggi pada 2011, Mahkamah Agung pada 2019 dan petisyennya kepada presiden untuk mendapatkan pengampunan.

Kes itu menarik perhatian antarabangsa ketika hukuman mati Nagaenthran semakin hampir dengan hari hukuman itu dilaksanakan, dengan petisyen online terhadap hukuman mati itu menarik kira-kira 70,000 tandatangan serta liputan media antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan menulis surat kepada rakan sejawatannya di Singapura berhubung perkara itu, menurut Bernama.

Kumpulan hak asasi manusia dan pengasas Virgin Group, Richard Branson, turut menyentuh tentang isu tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya