Bekas menteri beragama Islam jadi sasaran konflik agama di India - Utusan Malaysia

Bekas menteri beragama Islam jadi sasaran konflik agama di India

SALMAN KHURSHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEHRADUN: Kira-kira 20 anggota kumpulan pelampau Hindu menyerang dan membakar rumah bekas Menteri Luar India yang beragama Islam dalam satu insiden semalam.

Serangan itu dilakukan selepas Salman Khurshid dari parti pembangkang utama menerbitkan buku yang membandingkan kumpulan nasionalisme yang semakin berkembang di bawah pentadbiran Perdana Menteri Narendra Modi dengan kumpulan Daesh. 

Menurut polis, kumpulan pelampau itu berhimpun di luar kediaman Salman yang terletak berhampiran bandar Nainital sebelum melakukan serangan dan menyalakan api.

“Kumpulan pelampau itu melaungkan slogan, membaling batu ke arah tingkap, cuba pecah masuk dan memulakan kebakaran di bahagian pintu masuk rumah Salman.

“Kumpulan itu juga melepaskan tembakan dan mengancam menantu perempuan Salman menggunakan pistol,” jelas jurucakap polis, Jagdish Chandra.

Salman yang berkhidmat sebagai menteri luar dari 2012 hingga 2014 dan keluarganya tidak berada di kediaman tersebut ketika kejadian berlaku.

Namun, beliau menerusi media sosial mengutuk serangan tersebut dan menyifatkannya sebagai amat memalukan.

Kumpulan aktivis sebelum ini memberitahu, penduduk beragama Islam di India berdepan dengan diskriminasi yang semakin meningkat sejak Parti Bharatiya Janata (BJP) yang dipimpin oleh Modi memegang tampuk kerajaan pada 2014. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN