Austria 'kurung' dua juta rakyat belum vaksin - Utusan Malaysia

Austria ‘kurung’ dua juta rakyat belum vaksin

PESERTA protes anti vaksin membantah perintah berkurung di Ballhausplatz di Vienna, Austria. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VIENNA: Austria tidak mempunyai cara lain melainkan mengambil pendekatan perintah berkurung disebabkan kira-kira dua juta penduduk masih belum atau enggan menerima suntikan vaksin sepenuhnya. 

Lapor BBC, hanya 65 peratus populasi di negara itu yang sudah menerima suntikan vaksin lengkap, sekali gus merekodkan antara negara dengan kadar vaksinasi terendah di Eropah Barat. 

Disebabkan itu, Austria yang kini bergelut dengan lonjakan kes Covid-19 hanya membenarkan individu yang belum divaksin keluar rumah bagi tujuan sangat terhad seperti bekerja atau membeli makanan.

Perintah itu sekali gus melarang mereka dari mengunjungi restoran, kedai gunting rambut mahupun pawagam. 

Canselor Austria, Alexander Schallenberg menegaskan perintah berkurung adalah satu keperluan dan pihak kerajaan tidak mengambil ringan langkah tersebut. 

“Secara realiti, kami memberitahu satu pertiga penduduk bahawa mereka tidak dibenarkan keluar rumah melainkan hanya alasan tertentu sahaja. 

“Itu adalah perbezaan besar hubungan antara yang sudah divaksin dan belum divaksin,” tegasnya. 

Pihak kerajaan memaklumkan anggota polis akan dikerahkan melakukan pemantauan di tempat awam bagi menyemak status vaksinasi individu. 

Austria dalam masa sama menyaksikan kadar jangkitan dalam tempoh tujuh hari melebihi 800 kes bagi setiap 100,000 penduduk sekali gus merekodkan antara tertinggi di Eropah.

Peraturan yang dikuatkuasakan di Austria semalam akan berjalan selama 10 hari di sebalik tekanan dari hospital di seluruh negara. 

Bagaimanapun, peraturan itu dikecualikan bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan individu yang pulih daripada jangkitan Covid-19.  

 

TINDAKAN DIPERSOAL 

Sejak hujung minggu lalu, ratusan rakyat melancarkan protes di luar bangunan canselori di ibu negara Vienna.

‘Badan kami, adalah pilihan kami untuk pilih’. Itu antara kata-kata yang dapat dilihat pada sepanduk yang dibawa peserta demonstrasi. 

Langkah itu menerima kritikan kerana ada yang mempersoalkan sama ada ia selari dengan Perlembagaan negara ini. 

Parti Bebas yang merupakan kumpulan berhaluan kanan menjelaskan pelaksanaan perintah berkurung akan mewujudkan kumpulan rakyat kelas kedua. 

Secara keseluruhannya, Eopah merupakan kawasan paling terjejas teruk dijangkiti Covid-19 dan beberapa negara mengambil langkah sekatan dan mengeluarkan amaran mengenai lonjakan kes. 

Walau bagaimanapun, United Kingdom yang merekodkan kadar jangkitan virus paling tinggi belum melaksanakan semula langkah sekatan.

Kementerian Kesihatan Austria mahu undang-undang seperti pemakaian pelitup muka di kawasan sesak dan tertutup diwajibkan semula bagi mengelakkan krisis musim sejuk. 

 

SEKATAN NEGARA LAIN  

Sementara itu, di negara jiran seperti Jerman, menteri kesihatannya, Jens Spahn memberi amaran kepada individu yang belum divaksin. 

Kerajaan Persekutuan dan pemimpin negeri dijangka mengadakan pertemuan minggu ini bagi membincangkan perintah sekatan baharu yang bersesuaian.

Kadar vaksinasi di Jerman adalah lebih tinggi berbanding Austria sebanyak 67.3 peratus. 

Jerman mengklasifikasikan Austria sebagai kawasan berisiko tinggi yang bermakna mana-mana individu yang tiba dari negara itu perlu menjalani kuarantin. 

Di Belanda, perintah berkurung turut dilaksanakan bagi mengehadkan hubungan sosial sebagai tindak balas kepada peningkatan mendadak jumlah jangkitan wabak. 

Langkah itu termasuk penutupan restoran dan kedai serta melarang sebarang penganjuran acara sukan. 

Dalam pada itu, hanya 84 peratus golongan dewasa di Belanda sudah menerima suntikan vaksin lengkap. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya