JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) mahu Tentera Nasional Indonesia (TNI) untuk sentiasa siap siaga menghadapi ancaman yang lebih luas, baik ancaman kedaulatan di perairan mahupun keganasan dalam negara.
CNN Indonesia melaporkan, Jokowi menegaskan perkara itu ketika berucap dalam Majlis Memperingati Ulang Tahun TNI Ke-76 di Istana Merdeka.
“Kita perlu siap siaga menghadapi spektrum ancaman yang lebih luas serta kompleks, seperti ancaman kedaulatan, rompakan sumber laut, radikalisme, terorisme, ancaman siber dan ancaman biologi termasuk ancaman bencana alam,” katanya.
Menurut beliau, untuk itu transformasi pertahanan mesti dilakukan dan berterusan.
Jelasnya, ini sebagai asas untuk membentuk keupayaan pertahanan moden yang relevan dengan perkembangan teknologi ketenteraan kontemporari.
Katanya, TNI perlu memanfaatkan teknologi ketenteraan dan pelaburan pertahanan yang dirancang.
“Pemodenan pertahanan ini juga harus disertai pengurusan ekonomi dan pelaburan pertahanan,” katanya.
Jokowi menyebut mengenai beberapa masalah yang mengancam Indonesia, khususnya berkaitan dengan kedaulatan perairan negara.
Sebelum ini, Penyelidik Inisiatif Keadilan Perairan Indonesia (IOJI), Imam Prakoso memberitahu, sebuah kapal penyelidikan milik China, Hai Yang Di Zhi 10 dilihat berlegar di perairan Natuna Utara.
Menurut Imam, kapal itu bergerak dengan pola empat segi di Nautan Utara dari 31 Ogos sehingga 29 September lalu.
Namun, Angkatan Laut TNI mendakwa kapal itu berada di luar bidang kuasa dan tidak melanggar undang-undang perairan negara.
Selain itu, berkaitan dengan keganasan, Detasemen Khas atau Densus 88 Polis Antikeganasan menemukan 35 kilogram bahan letupan yang telah disembunyikan oleh tahanan pengganas di Gunung Ciremai, Jawa Barat.










