JAKARTA: Penularan Covid-19 di Indonesia menyaksikan penurunan ketara sejak beberapa minggu ini, satu kejayaan kepada program sekatan aktiviti masyarakat atau disebut PPKM.
Namun di sebalik kejayaan itu, al-Jazeera melalui wartawan sambilannya, Adi Renaldi menemukan ‘sesuatu yang kurang enak’ di tempat pembuangan sampah terbesar di negara ini, di Kota Bekasi sekitar 30 kilometer dari ibu kota, Jakarta.
Tulis Adi, pada pandangan biasa, tempat pembuangan sampah itu tiada bezanya dengan yang lain.
Tetapi di antara sampah biasa, ‘tersimpan’ sisa perubatan toksik yang tidak diurus dengan baik sebelum ‘dicampakkan’ ke lokasi ‘hitam’ tersebut.
Bermacam sisa perubatan berkaitan Covid-19 ditemukan termasuk jarum suntikan dan tiub saliran cecair.
“Di pintu masuk (tempat pembuangan sampah), saya bertemu Bagong Suyoto yang mengetuai pertubuhan National Waste Coalition dan selama dua dekad menganjurkan program pengurusan sampah yang lebih baik di Indonesia,” kata Adi.
Menurut Adi, Bagong menceritakan sejak awal Covid-19, dia telah menyaksikan peningkatan jumlah sampah atau sisa perubatan yang tidak dirawat dengan baik.
Di tempat pembuangan sampah di Bekasi, Bagong menunjukkan bekas beg darah dan tiub saliran yang bercampur dengan jenis sampah lain selain bekas ujian pantas Covid-19.
Bagong memberitahu, sebahagian besar sisa perubatan yang ditemukan telah dicampurkan sekali dengan sampah biasa.
Malah tegasnya, tindakan itu dilakukan oleh klinik atau pusat perubatan sebagai langkah menjimatkan berbanding menggunakan khidmat pengurusan sisa perubatan bertauliah.
Mengikut undang-undang, sisa perubatan perlu diuruskan melalui insinerator, tetapi kenyataannya, hanya empat peratus daripada 3,000 hospital di Indonesia memiliki lesen untuk mengoperasikan insinerator.
Bagi Bagong, kerajaan perlu membuat pelaburan menyediakan teknologi insinerator bagi memusnahkan sisa perubatan.
Di kisah lain di sebuah kampung berhampiran, Bagong menunjukkan pula penduduk yang mengusahakan barang kitar semula yang dikutip dari tempat pembuangan sampah itu.
Menurut penduduk, ada antara mereka yang pernah terkena cucukan jarum suntikan terpakai ketika mengumpul sampah.
Kecederaan pada jarum boleh menyebabkan jangkitan serius manakala bersentuhan dengan jenis sisa perubatan yang lain boleh mengakibatkan luka bakar kimia atau radiasi.









