JAKARTA: Masjid Sriwijaya di Palembang yang terbengkalai dan kini ‘usang’ akibat kes rasuah kini menjadi sarang ular berbisa dan babi hutan.
Perkara itu didedahkan Naib Ketua Umum Majlis Ulama Indonesia (MUI), Anwar Abbas yang kesal dengan jenayah rasuah sehingga pembinaan rumah Allah turut terpalit dengan keburukan jenayah itu.
Namun begitu menurutnya, pembinaan masjid tersebut perlu diteruskan.
“Kalau pemerintah tidak sanggup membiayainya, kita harapkan agar projek itu diserahkan kepada masyarakat untuk diteruskan pembangunannya supaya masjid tersebut dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya,” katanya seperti dilaporkan Detik.
Menurut beliau, apa yang berlaku terhadap projek pembinaan masjid itu merupakan salah satu bukti buruknya tindakan korupsi yang harus segera dibanteras sebelum melebar dan meluas.
“Jenayah rasuah ini harus benar-benar kita jadikan sebagai musuh.
“Kalau bangsa ini tidak mahu negara menjadi semakin bankrap, kita harus berani menegaskan tekad untuk membanteras korupsi yang dikutuk oleh Allah agar Indonesia dapat tumbuh dan berkembang menjadi negara maju, adil dan sejahtera serta diredai Allah,” katanya.
Dalam pada itu, seorang peniaga yang sudah lama berniaga di sekitar projek pembangunan Masjid Sriwijaya, Arman Maulana berkata, kawasan sekitar projek itu sudah dinaiki lalang dan digenangi air.
“Kami pernah terlihat ular tedung dan babi hutan di kawasan sekitar. Harap pihak berkuasa meninjau kawasan ini dan membersihkannya,” katanya.