Perairan Pakistan diceroboh India - Utusan Malaysia

Perairan Pakistan diceroboh India

TANGKAP LAYAR diambil daripada video yang dikeluarkan oleh tentera Pakistan. - TENTERA PAKISTAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Tentera Laut Pakistan mendakwa pihaknya mengesan dan menyekat sebuah kapal selam tentera India yang cuba memasuki wilayah perairan negara itu, baru-baru ini.

Lapor Al Jazeera, tentera Pakistan dalam satu kenyataan memaklumkan insiden itu berlaku Sabtu lalu, kira-kira 283 kilometer di selatan bandar pesisir Pakistan.

“Rondaan pengawasan ketat dilakukan oleh Tentera Laut Pakistan untuk melindungi sempadan wilayah perairan negara,” jelas kenyataan itu.

Menurutnya, pergerakan awal kapal selam India tersebut dikesan dan dijejaki oleh pesawat peronda maritim milik tentera laut Pakistan.

Sebuah video yang disertakan dengan kenyataan terbaharu tentera laut Pakistan menunjukkan rakaman inframerah tiang kapal selam yang diambil 16 Oktober lalu, antara pukul 11.18 malam dan 11.36 malam (waktu tempatan).

Kedudukan itu berada tepat di dalam sempadan Zon Ekonomi Eksklusif Pakistan (EEZ).

Kedua-dua tentera dan kerajaan negara itu sering menuduh antara satu sama lain terutamanya mengenai dakwaan menaja kumpulan bersenjata yang beroperasi di tanah air masing-masing.

Sebelum ini, Pakistan mendakwa kapal selam India pernah menceroboh perairan negaranya sebanyak dua kali iaitu pada November 2016 dan Mac 2019.

Cubaan pencerobohan kali kedua berlaku beberapa hari selepas insiden pengeboman di wilayah Kashmir yang dipertikaikan yang meningkatkan ketegangan antara kedua-dua negara. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN