PEMUDA ini bukan sesiapa, tiada pengaruh besar atau pernah menghadiri mana-mana persidangan dunia yang turut dihadiri oleh orang kenamaan.
Dia juga tidak mempunyai akses untuk berhubung dengan mana-mana pemimpin dari negara lain.
Tetapi, Muhammad Aimran Abdul Wahab, 20, memiliki ratusan kad ucapan yang dikirimkan oleh pemimpin dan tokoh tersohor di peringkat antarabangsa.
Antaranya termasuk daripada Raja Charles III diikuti penulis British terkenal yang juga bekas pasangan kepada Putera Andrew iaitu Sarah the Duchess of York.
Dia juga menyimpan kad ucapan tahun baharu kiriman Raja Philip dan Ratu Mathilde dari Belgium; Raja dan Ratu Sepanyol selain kad ucapan hari lahir Princess Sofia of Sweden yang memakai gelaran Duchess of Varmland serta anak Ratu Mathilde, Princess Elisabeth (Duchess of Brabant).
Lebih menarik, Muhammad Aimran juga memiliki sebahagian besar koleksi kad ucapan dari pemimpin Luxembourg.
Daripada Perdana Menteri, Luc Frieden hinggalah ke Menteri Pertahanan, Yuriko Backes; Menteri Alam Sekitar, Serge Wilmes dan beberapa menteri Kabinet negara itu yang lain.
Kad ucapan lain dalam simpanannya ialah daripada bekas Perdana Menteri Belgium yang juga bekas Presiden Majlis Eropah, Charles Michel; Duke of Bavaria dari Jerman iaitu Franz Von Bayern; pemimpin Switzerland, Cyprus, Portugal serta beberapa negara lain termasuk dari Asia.
Mengimbau detik awal penglibatannya dalam hobi unik itu, katanya, ia bermula tiga tahun lalu, saat dunia dikejutkan dengan berita kemangkatan Ratu Elizabeth II, atau nama sebenarnya Elizabeth Alexandra Mary.
Dia yang ketika itu masih bersekolah, tersentuh dan tergerak untuk menzahirkan ucapan takziah kepada Raja Charles III, iaitu putera sulung kepada baginda ratu.

“Masa itu, saya sekadar mengikuti perkembangan semasa. Tak pasti kenapa tapi tiba-tiba timbul rasa simpati terhadap keluarga diraja Britain atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.
“Saya bertanya kepada seorang rakan yang lebih berpengalaman, bagaimana caranya untuk mendapatkan alamat mereka bagi menyampaikan ucapan takziah.
“Kemudian, saya difahamkan alamat itu boleh didapati di internet sahaja,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Nibong Tebal, baru-baru ini.
Lantas, Muhammad Aimran memberanikan diri menghantar sepucuk surat dengan bermodalkan setem bernilai RM5.
Katanya, tarikh surat itu dihantar adalah pada 9 September 2022, namun sehingga ke hujung tahun masih tiada balasan.
“Waktu itu memang rasa kecewa sangat, tapi tiba-tiba, pada 1 Januari 2023, saya terima surat balasan,” katanya.
Bermula daripada situ, anak bongsu daripada empat beradik ini semakin seronok dengan dunia barunya dan mula aktif menyertai komuniti-komuniti pengumpul kad ucapan di Facebook dan Instagram.
Katanya, kebanyakan ahli komuniti berkenaan juga memiliki minat sama sekali gus memudahkan mereka bertukar-tukar pandangan.
Kadangkala, dia turut mendapat ilham daripada komuniti itu untuk mencuba sesuatu yang baharu.
“Sebenarnya, saya bermula dengan menghantar kad raya, tetapi hobi itu hanya terhad pada musim perayaan sahaja.
“Lama-kelamaan, saya mula meneliti tarikh-tarikh penting seperti hari ulang tahun kelahiran pemimpin dunia, sambutan tahun baharu dan pelbagai acara antarabangsa lain bagi memudahkan saya mengutus surat atau poskad kepada mereka.
“Walaupun tidak semua kad ucapan yang dihantar menerima balasan, saya tetap gembira kerana lebih 70 peratus daripadanya mendapat maklum balas,” katanya.

Kembara tanpa pasport
Antara kad ucapan yang masih belum menerima sebarang balasan sehingga kini ialah yang dihantar ke Thailand, Kemboja dan beberapa negara lain.
Namun, ia tidak melemahkan semangat Muhammad Aimran kerana ada beberapa yang turut dibalas melalui e-mel.
Dianggarkan, hampir 200 kad diterimanya sama ada kad ucapan tahun baharu, hari lahir mahupun majlis pertabalan, daripada orang kenamaan dari seluruh dunia.
“Setakat ini, kebanyakan balasan diterima adalah dari negara-negara Eropah selain Asia,” ujarnya.
Daripada ratusan kad itu antara yang paling berharga ialah daripada bekas Maharani Iran, Farah Pahlavi.
Muhammad Aimran berkata, hobi uniknya itu secara tidak langsung membawanya mengembara ke seluruh dunia walaupun secara maya.
Selain mengenali lebih dekat pemimpin atau tokoh sesebuah negara, dia juga berpeluang mendalami latar budaya dan politik mereka.
“Dalam surat kepada pemimpin Ireland, saya memuji kecantikan negara mereka dan nyatakan hasrat untuk ke sana suatu hari nanti, mungkin untuk sambung belajar. Tidak sangka, mereka gembira dengan penghargaan itu.
“Malah, mereka turut menghantar beberapa buku tentang Ireland, termasuk berkaitan sistem politik,” kongsinya.
Tambah Muhammad Aimran, hobi itu turut membantunya menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik memandangkan hampir semua surat, poskad atau e-mel yang dihantar ditulis dalam bahasa tersebut.
“Walaupun tidak semua negara menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi, namun ia tetap menjadi bahasa komunikasi antarabangsa yang paling meluas,” jelasnya.
Katanya, dia sedar hobi itu bukan pilihan popular dalam kalangan anak muda sepertinya kerana sering dianggap renyah.
Apatah lagi memerlukan seseorang menulis surat, membeli setem dan membuat sedikit bacaan atau kajian sebelum menghantar ucapan.
“Tapi bagi saya, semua usaha itu berbaloi apabila menerima balasan daripada pemimpin atau tokoh dari negara lain.
“Bukan semua orang berpeluang berkomunikasi dengan mereka, walaupun sekadar melalui surat atau poskad,” katanya.

Kumpul syiling, wang kertas
Selain kad ucapan, Muhammad Aimran juga aktif mengumpul syiling dan wang kertas dari pelbagai negara.
Ia merupakan satu lagi cabang minat yang membawanya mengenali dunia dari perspektif berbeza.
“Hobi ini memberi peluang kepada saya untuk lebih memahami sejarah dan budaya negara-negara luar,” kata pencinta kucing ini.
Tambahnya, setiap hobi memiliki keunikan dan nilai tersendiri, malah ada yang mampu menjana pendapatan jika diusahakan dengan serius.
Katanya, apa jua minat seseorang, yang paling penting ialah ia membawa kegembiraan dan tidak menyusahkan orang lain.










