SINGAPURA: Seorang pemandu teksi didenda S$8,000 kerana menghantar mesej lucah kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
Berita Mediacorp melaporkan, Fadhillah Kassim, 65, mengaku bersalah atas satu tuduhan melakukan perbualan seksual terhadap seorang individu bawah umur, dengan tiada percubaan atau niat untuk berjumpa dengan mangsa.
Mahkamah diberitahu Fadhillah memuat turun aplikasi sembang itu pada Februari atau Mac tahun lalu untuk berbual dengan pengguna wanita sambil menunggu penumpang.
Dia akan memulakan dengan berbual kosong sebelum bertanyakan soalan berbaur seksual untuk menjadikan perbualan itu ‘menarik’.
Menurutnya, sesetengah pengguna akan berkata mereka tidak berminat, namun ada sesetengah yang akan meneruskan perbualan.
Pada pertengahan Julai tahun lalu, mangsa yang berusia 11 tahun itu sedang menonton YouTube apabila satu iklan bagi aplikasi sembang itu muncul.
Dia memuat turun aplikasi itu atas rasa ingin tahu, menurut pihak pendakwa, dan mula berkenalan dengan Fadhillah menerusi aplikasi tersebut beberapa minggu kemudian.
Fadhillah kemudian mengaku kepada pasukan penyiasat bahawa dia mula bertanya soalan berkaitan seksual kepada mangsa apabila perbualan mereka mula menjadi ‘bosan’.
Petikan perbualan mereka menunjukkan Fadhillah bertanya kepada mangsa: “Sekarang cakap betul-betul. Berapa umur kau sebenarnya, sayang?”
Mangsa menjawab dia berusia 15 tahun, yang mana Fadhillah menjawab ‘manis tu’ dan dia ‘menyukainya’.
Fadhillah meminta mangsa memberinya peluang ‘untuk menjaganya’.
Dia berkata akan melakukan perbuatan seks di dalam kereta ‘setiap kali mereka berjumpa’ dan memberi gambaran lucah tentang apa yang akan dia lakukan kepada mangsa dengan ganjaran S$100.
Dia juga bertanya kepada mangsa jika budak itu masih ‘seorang anak dara’.
Pada 2 Ogos 2020, kakak mangsa ternampak seorang ‘lelaki berumur’ sedang menghantar mesej kepada adiknya dan bapa mereka tidak lama kemudian mendapat tahu tentang apa yang sedang berlaku.
Keluarga mangsa mengambil petikan perbualan itu, memadamkan aplikasi itu lalu melaporkannya kepada polis.
Polis kemudian menjejakinya.
Dia mengaku bersalah atas kesalahannya itu namun mendakwa tidak mempunyai hasrat untuk berjumpa dengan mangsa bagi sebarang khidmat seksual melibatkan bayaran.










